Ads

Saturday, January 11, 2014

Merancang kedudukan kewangan sihat

Di manakah harus menabung wang? Adam sedia berkongsi pengalamannya dan mengingatkannya anaknya supaya tidak bersikap tamak semasa melabur dan jangan terlalu mengikut perasaan. Dua faktor yang biasanya menyebabkan orang mengalami kerugian di dalam pelaburan mereka adalah Sikap Tamak dan Takut. Hanya jika anda dapat mengawal ketamakan anda dan tidak terlalu mengikut perasaan, bolehlah anda menceburi dunia pelaburan dengan selamat. Mari kita sama-sama terokai beberapa pilihan pelaburan yang sedia ada bagi Alisa.

Pelaburan Faedah Tetap dan Tunai

Ini mungkin bentuk “pelaburan” yang paling lazim di kalangan ramai rakyat Malaysia dan merangkumi akaun simpanan bank, simpanan tetap dan pelaburan pendapatan lain seperti bon kerajaan. Pilihan ini dianggap paling selamat kerana kemungkinan anda kehilangan modal anda adalah agak tipis. Walau bagaimanapun, seperti mana kita ketahui tentang prinsip asas pelaburan, semakin kurang risikonya, semakin kuranglah pulangan yang bakal diperoleh. Mungkin pelaburan anda tidak terdedah kepada sebarang risiko, tetapi mengikut edaran masa, masih wujud risiko terhadap nilai sebenar modal anda – risiko inflasi!
Jadi, melabur jumlah wang yang besar di dalam kategori ini bukanlah langkah yang bijak. Meskipun begitu, ia masih pelaburan yang menjadi pilihan atas sebab-sebab berikut:
Digunakan sebagai akaun transaksi
Untuk menyimpan wang tunai bagi belanja jangka pendek dan sebarang kecemasan
Bagi simpanan jangka pendek sekiranya anda tidak mampu mendedahkan modal anda kepada sebarang risiko

Saham

Ini merupakan jenis pelaburan yang paling “hangat” dan apabila pasaran ”panas”, seolah-olah semua orang mempunyai “maklumat penting” yang boleh membantu. Ramai daripada kita melabur wang hasil titik peluh kita di dalam pelaburan sedemikian tanpa mengetahui apa-apa tentangnya – kita semua hanya mahu mendapat wang dengan cara senang. Sebenarnya, saham (juga dikenali sebagai ekuiti atau stok) mewakili pemilikan dalam sesebuah syarikat dan apabila anda membeli sahamnya, anda menjadi sebahagian daripada pemilik syarikat tersebut. Jika syarikat itu meraih keuntungan, anda berpeluang mendapat hasil daripada peningkatan dalam harga sahamnya (perolehan modal) atau dalam bentuk pembayaran dividen (pendapatan). Sebaliknya, jika syarikat itu mengalami kerugian, pelaburan anda juga akan turut terjejas apabila nilai sahamnya jatuh.
Pastinya anda telah banyak dengar nasihat pakar tentang “Beli pada Harga Rendah dan Jual pada Harga Tinggi” dan ini mungkin kelihatan mudah untuk dilakukan. Walau bagaimanapun, kebanyakan daripada kita kelihatan seolah-olah melakukan perkara yang bertentangan pula , bukankah begitu? Adam ada sedikit nasihat tentang Pelaburan Saham kerana jenis pelaburan ini telah membantunya membina jumlah kekayaan yang agak besar. Berikut adalah beberapa daripada perkara yang dilakukannya:
Buat kajian sebelum melabur - ketahuilah bagaimana syarikat tersebut membuat duit serta prospek masa depannya
Tetapkan sasaran pulangan anda – ketahuilah bila masanya untuk meraih keuntungan dan jangan sekali-kali bersikap tamak
Tetapkan tahap kerugian anda – ketahuilah bila masanya untuk menghindari kerugian yang lebih besar dan jangan terlalu mengikut perasaan
Jika anda yakin tentang prestasi sesebuah syarikat serta prospek pertumbuhannya, anda mungkin ingin mengguna pakai strategi “Beli & Simpan” bagi jangka masa panjang

Dana Amanah Saham

Bentuk pelaburan ini telah mendapat banyak perhatian sejak kebelakangan ini dan berjaya menarik sebahagian besar daripada pelaburan. Ini khususnya skim-skim pelaburan kolektif dan dananya digabungkan dan diurus oleh pengurus dana profesional bagi pihak pelabur amanah saham. Dana dilabur mengikut objektif pelaburan dan bergantung pada risiko pilihan anda, kerana anda mempunyai pilihan memilih daripada pelbagai dana yang ditawarkan di pasaran.
Pelaburan di dalam Amanah Saham mungkin sesuai bagi mereka yang:
Baru kepada dunia pelaburan
Tidak tahu atau tidak mahu tahu cara melabur sendiri dan sanggup mendapat khidmat pengurus dana profesional dalam pemilihan pelaburan
Mempunyai sejumlah wang yang kecil untuk melabur (dengan mempunyai pilihan untuk membuat sumbangan tambahan secara tetap)
Sedang mencari kepelbagaian untuk meminimumkan risiko
Sebenarnya, Alisa sudah pun menabung wangnya di dalam pelaburan sedemikian kerana Amanah Sahamnya adalah suatu bentuk skim pelaburan Unit Amanah.

Harta Tanah

Ini satu lagi kelas pelaburan yang semakin popular di kalangan rakyat Malaysia, khususnya mereka yang tidak mempunyai jumlah wang yang besar untuk dilabur. Malah, banyak seminar telah diadakan untuk mengajar orang cara meraih keuntungan daripada pelaburan harta tanah dan terdapat banyak kisah kejayaan mengenai cara para jutawan telah lahir daripada pelaburan harta tanah. Sama seperti Saham, harga harta tanah boleh turun naik dan terdapat tempoh-tempoh hasil pulangan yang tinggi mahupun yang rendah. Oleh itu, pelaburan harta tanah secara amnya adalah pelaburan jangka masa panjang yang agak sesuai.
Kita biasanya dengar tentang klise Peraturan Penting bagi Pelaburan Harta Tanah: Lokasi, Lokasi dan Lokasi! Itulah hakikatnya dan anda betul-betul perlu mempunyai mata yang tajam serta nasib yang baik dalam bidang pelaburan harta tanah ini. Pelaburan harta tanah pada amnya sesuai bagi pelabur yang:
Tidak memerlukan pengeluaran wang bagi sebarang "kecemasan"
Mempunyai horizon pelaburan jangka masa panjang
Mempunyai keupayaan untuk menjelaskan semua pembayaran balik gadai janji - walaupun kadar faedah semakin naik atau harta tanah tersebut tidak disewa oleh sesiapa.

Kata-kata Hikmah

Selepas mendengar kata-kata ayahnya tentang pilihan-pilihan pelaburan yang sedia ada, Alisa lebih cenderung ke arah pelaburan dalam harta tanah. Dia terfikir bagaimana cara dia boleh “berkecimpung’ di dalam bidang tersebut dan mula menjadi seorang Tuan Tanah (atau Puan Tanah, dalam kes ini!) Kita akan mendalami topik ini dalam artikel yang seterusnya tetapi sementara itu, anda boleh berfikir lanjut tentang jenis-jenis pelaburan yang paling sesuai bagi profil risiko peribadi anda dan keperluan spesifiknya.

Nasihat Ayah:

  1. Jangan Bersikap Tamak dan Jangan Terlalu Mengikut Perasaan Semasa Melabur
  2. Biarlah Wang Anda Mendapatkan Pulangan Yang Setimpal, lebih-lebih lagi, Mendapat Pulangan Yang Lebih Tinggi Lagi.
  3. Buatlah Kajian Dan Persediaan Terlebih Dahulu!

0 ulasan:

Post a Comment

Popular Posts

Recent Posts

-

Unordered List

-

Text Widget

Sponsor




tracker

minyak kelapa dara biovco
BioVCO Groups
>> KLIK DISINI


penyakit resdung, sinus
twitter

Featured Video

Featured Video

Advertisement

Pengikut

Jalan menuju TAQWA

Popular Posts

Video Of Day