Ads

Saturday, October 3, 2009

Bijak urus hutang



UNTUK mencapai matlamat kewangan, kita sememangnya memerlukan wang. Namun, sekiranya kita mendapatkannya dengan cara senang iaitu melalui jalan mudah, selalunya pelbagai masalah akan timbul.

Hakikatnya, ia akan membawa padah apabila memiliki hutang yang banyak. Mana tidaknya, wang yang senang didapati itu diambil daripada transaksi kad kredit, pinjaman peribadi, pinjaman overderaf dari institusi kewangan dan bank atau pinjaman menerusi khidmat ah long.

Bukan itu sahaja, sudahlah hutang meningkat, diri sendiri juga perlu membayar pinjaman perumahan dan kereta, termasuk membayar kos kehidupan seharian.

Persoalan, adakah anda mengalami masalah di atas? Sekiranya ada, anda dinasihat mengambil langkah-langkah yang positif bagi menangani proses membayar hutang yang banyak itu.

Walau bagaimana besar amaun yang kita berhutang, janganlah pula kita mengambil jalan penyelesaian yang salah atau secara bersendirian. Sekiranya anda seorang penuntut yang masih belajar atau belum berkahwin, kongsi bersama ayah dan ibu atau adik beradik. Sekiranya sudah berumahtangga, ceritakan masalah itu kepada pasangan hidup anda.

Penting bagi kita melakukan sesuatu dan jadikan amalan. Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit! Pepatah ini bukan sahaja digunakan untuk wang, tetapi untuk menambah ilmu di dada.

Rawatan secara semulajadi berasaskan 100% tumbuhan
Inilah rancangan yang harus diselenggarakan mulai sekarang.

Tulis dan tampal di dinding

Tulis jumlah keseluruhan hutang yang perlu dibayar dan tampal di mana sahaja tempat yang selalu anda gunakan. Contohnya, di cermin almari solek atau papan tanda di rumah atau pejabat. Yang pasti, ketepikan semua perkara selagi hutang yang tertulis itu tidak dilangsaikan. Lupakan impian untuk membeli baju, beg tangan, motor besar, kereta dan lain-lain. Tumpuan kita hanyalah satu iaitu mengurangkan bebanan hutang yang tertulis itu. Apabila kita melihat sekeping kertas yang tertulis amaun hutang kita setiap hari, diri kita sendiri akan memberikan sepenuh perhatian bagi menyelesaikan hutang tersebut.

Bajet

Inilah satu daripada rahsia agar proses melaksanakan perancangan kewangan dapat dijalankan dengan baik. Tanpa bajet, kita tidak akan sedar di manakah kelemahan dan kelebihan yang ada pada diri sendiri. Menulis bajet bukan satu hukuman.

Apabila kita menulis bajet, kita hendaklah menulisnya dengan tulus ikhlas kerana kita hendak tahu berapa banyak wang yang digunakan setiap bulan.

Dengan wang gaji kita dan isteri atau suami kita, setelah ditolak perbelanjaan itu, berapa banyakkah yang boleh kita simpan. Sehingga hutang dilangsaikan, kita hendaklah mengikut bajet yang telah ditetapkan ini.

Melalui proses ini juga, kita perlu berterus terang dengan suami atau isteri jika kita mempunyai masalah untuk menyimpan. Antara suami atau isteri, yang manakah lebih cermat. Pilih seseorang yang cermat untuk menyimpan wang simpanan keluarga.

Potong semua yang tidak penting

Apabila diri sendiri mempunyai masalah hutang yang disebabkan oleh pembelian menggunakan kad kredit yang berlebihan, kita seharusnya memberikan kad kredit kepada seseorang yang boleh dipercayai sama ada suami atau isteri. Seterusnya, semua transaksi yang ditulis di dalam bajet hendaklah menggunakan wang tunai.

*Wang tunai diketepikan untuk membayar bil-bil dan membeli keperluan yang penting sahaja. Perkara yang tidak penting dipotong atau ditunda buat sementara.

*Inilah masa untuk mengikat perut. Makan di rumah atau bawa bekal ke pejabat.

*Potong semua keahlian kelab sukan dan bersenam di padang permainan berdekatan.

*Sekiranya menggunakan dua buah kereta ke pejabat, simpanlah sebuah di rumah dan ini boleh mengurangkan perbelanjaan petrol.

*Apabila wang yang dibajet ini kehabisan, jangan keluarkan wang simpanan. Sabar sehingga anda mendapat gaji bulan hadapan.

Hutang boleh diselesaikan

Setelah semua perkara di atas berjaya dilakukan dan masih ada lagi hutang yang belum diselesaikan, eloklah kita menulis baki amaun hutang secara terperinci. Apa yang dimaksudkan itu adalah sekiranya kita mempunyai tiga atau lebih kad kredit, tuliskan amaun yang perlu dibayar. Dari sini, kita bayar amaun yang paling kecil dan kemudian tamatkan kad kredit tersebut. Lakukan proses itu sehingga kita hanya memiliki satu atau dua kad kredit sahaja.

Setelah selesai hutang kad kredit, kita perlu menulis semula hutang-hutang yang lain seperti hutang peribadi, hutang ah long dan lain-lain. Perhatikan hutang mana mempunyai kadar faedah yang tinggi. Selesaikan yang itu dahulu. Sekiranya kita terpaksa mengeluarkan wang simpanan, gunakanlah wang itu untuk mengurangkan bebanan hutang kita. Akan tetapi, hendaklah kita berwaspada agar akaun simpanan tidak kosong. Ini kerana kita perlukan wang di saat kecemasan.

Bagi anda yang tidak mempunyai wang simpanan, jangan pula mengambil pinjaman yang lain. Apa yang boleh dilakukan adalah melakukan kerja tambahan atau berniaga di sebelah petang atau malam untuk menambah pendapatan.

Satukan bajet suami isteri


Banyak pasangan suami dan isteri tidak berbincang mengenai bajet kewangan mereka, padahal ia boleh disatukan untuk kebaikan sekeluarga.

SUAMI dan isteri harus mengkategorikan berapakah wang yang digunakan untuk keperluan makanan, pakaian, barangan rumah dan sebagainya. - Gambar hiasan

Membina keluarga bahagia ketika sedang menghadapi kemerosotan ekonomi bukannya satu perkara yang mudah. Sekiranya tiada kesabaran dan iman, kita pasti menghadapi masalah persefahaman dan emosi dalam menyelenggara perbelanjaan harian, bulanan dan tahunan keluarga.

Hari ini cuba anda duduk bersama pasangan hidup dan berbincanglah mengenai perancangan kewangan, selain apa yang kita inginkan dalam kehidupan.

Walaupun masing-masing mempunyai matlamat sendiri, apa kata kita gandingkan bersama dan menjadi lebih kreatif dalam merealisasikan impian kita berdua atau sekeluarga.

Kita perlu bersetuju bahawa ia merupakan langkah bijak untuk mengurus bajet demi kepentingan seisi keluarga.

Apabila bajet ini dapat dicipta bersama, anda akan mendapati bahawa ia lebih senang dan mudah untuk melaksanakannya. Sekiranya timbul masalah, ia juga lebih mudah untuk diselesaikan bersama.

Inilah keistimewaan bajet dan perancangan kewangan yang sihat apabila sepasang suami isteri mempunyai kematangan arah tujuan dan dapat mengawal situasi secara realistik.

Dalam kita menentukan matlamat kewangan bersama, kita perlu catatkan:

Matlamat kewangan jangka pendek yang mungkin terdiri daripada beberapa perkara di bawah:

*Makanan
*Pakaian (harian atau pejabat)
*Bayaran ansuran
*Barangan rumah
*Bil-bil air, elektrik, telefon dan lain-lain
*Buku-buku dan alat tulis
*Hiburan dan percutian
*Bayaran pinjaman perumahan

Matlamat kewangan jangka panjang pula mungkin terdiri daripada beberapa perkara di bawah:

*Tabungan persaraan bersama
*Wang perbelanjaan kolej atau universiti anak-anak
*Premium insurans hayat, penyakit berbahaya dan perubatan
*Wang untuk didermakan kepada anak-anak yatim

Sambil mencatat matlamat jangka pendek dan jangka panjang bersama, tuliskan juga amaun di sebelah setiap perkara. Tujuan kita melakukannya adalah untuk menghitung kos yang perlu dijelaskan pada setiap bulan atau tahun.

Untuk kos bayaran bulanan, beberapa bayaran seperti hutang kereta dan bayaran pinjaman perumahan, amaunnya mungkin tidak berubah setiap bulan. Namun begitu, untuk bayaran yang berubah, anda perlu isikan amaun anggaran.

Perkara yang perlu diberi perhatian ialah apabila kita menghitung kos matlamat jangka panjang seperti tabungan persaraan bersama.

Walaupun amaun yang diperlukan agak besar, amaun yang diketepikan setiap bulan akan bertambah dengan cepat dan selamat apabila disimpan di institusi kewangan yang memberikan pulangan yang baik.

Siapkan penghitungan di atas dan dapatkan amaun bulanan yang diperlukan.

Seterusnya, lakukan dua salinan, iaitu satu untuk suami dan satu lagi untuk isteri. Tandatangan di kedua-dua salinan tersebut dan berjanji akan melakukan yang terbaik agar matlamat-matlamat itu akan menjadi kenyataan.

Anda juga perlu berjanji bahawa tabiat buruk seperti pembaziran wang semestinya dikurangkan.

Hanya cara inilah jalan terbaik di mana bukan sahaja kita berpeluang menggabungkan wang daripada gaji bulanan bersama, bahkan kita dapat berkongsi beban kewangan setiap bulan atau setiap tahun.

Seterusnya, lakukan proses mencatat semua pembelian dan pembayaran yang dilakukan dalam sebulan ini.

Lakukan dengan ikhlas supaya kita dapat mencapai matlamat kewangan bersama dengan sempurna. Semuanya mustahak dan harus dicatat. Daripada pembelian atau pembayaran tunai, cek atau menggunakan kad kredit, selagi ia bernama wang, semuanya ditulis dalam buku nota yang dibawa bersama, ke mana saja kita pergi. Di sini, kita dapatkan jumlah keseluruhan yang digunakan setiap hari.

Setelah sebulan kita berjaya mencatat semua pembelian dan pembayaran, kita harus bermesyuarat dan sama-sama menganalisis dan mengkategorikan berapakah wang yang digunakan untuk keperluan makanan, pakaian, barangan rumah, hiburan, percutian dan sebagainya. Pasti proses sebegini dapat memberikan satu kesedaran kerana melalui cara ini sajalah kita mengetahui kebaikan dan kelemahan pasangan hidup kita.

Apabila kesemua proses di atas telah dilakukan selama sebulan, jangan pula anda berhenti di situ sahaja. Kita hendaklah meneruskan amalan yang baik ini untuk selama-lamanya.

Ini kerana apabila matlamat jangka pendek telah dicapai, kita perlu mencapai matlamat jangka panjang pula. Dalam kita meneruskan perjalanan hidup bersama dengan lebih bermuafakat, jangan lupa untuk mengucapkan terima kasih dan syabas sebagai tanda kita telah berjaya melakukan satu perjanjian matlamat hidup bersama.

Akibat Kurangnya Ilmu Pengurusan Kewangan Peribadi

Bos besar kini penghantar piza

DUA tahun lalu, Ken Karpman dan keluarganya menjalani kehidupan mewah. Mereka mempunyai keahlian kelab golf, sering bercuti ke destinasi hebat dan tinggal di rumah seluas 4,000 kaki persegi.

Pendapatan Karpman mencecah AS$750,000 setahun, iaitu jauh meninggalkan kadar purata pendapatan tahunan rakyat Amerika Syarikat.

Namun kini, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Hedge Fund ini boleh ditemui menghantar piza di Florida dengan upah AS$7.29 sejam. Semuanya kerana tidak mempunyai simpanan cukup untuk menghadapi krisis ekonomi dunia.

“Kami tidak ambil tahu tentang harga barangan di kedai. Kami sekadar mencampakkan ia ke dalam troli dan terus membayarnya. Hidup begitu menyeronokkan. Mengapa ia harus berakhir?” kata Karpman dalam satu wawancara khas di televisyen.

Pemilik sarjana ini seorang pedagang jualan ekuiti. Dia terlalu percaya pada urus niaga dengan syarikat besar, tanpa menduga impak kemelesetan ekonomi global.

Karpman dan isterinya, Stephanie, memberitahu bahawa rumah mereka di Tampa, Florida sudah tergadai sementara hutang kad kredit sudah terkumpul sebanyak AS$100,000. Anak-anak mereka masih meneruskan pembelajaran di sebuah institusi persendirian namun dikatakan ada pihak lain yang menanggung kosnya.

“Memang ini menyedihkan. Namun, saya harap kisah kami dijadikan iktibar. Kami merupakan antara ratusan ribu warga Amerika yang kehilangan kerja atau sedang bersusah-payah membayar semula pinjaman,” kata Karpman.

Sumber ini diambil dari akhbar Kosmo hari ini. Kisah ini boleh dijadikan iktibar kepada kita betapa pentingnya ilmu pengurusan kewangan peribadi.

Tidak kisahlah berapa banyak wang yang anda dapat, tetapi jika anda tidak menutup kebocoran (aliran wang keluar) dan tidak menyimpan maka tidak ada gunanya anda mendapat wang yang banyak tadi.

Menyimpan atau simpanan merupakan benteng pertahanan yang paling asas dalam pengurusan kewangan peribadi. Ia merupakan perkara yang paling penting kerana ia dapat menyelamatkan kita apabila berlaku sebarang kecemasan seperti anak sakit, kemalangan, kereta rosak dan bermacam-macam lagi.

Jadi, amalkanlah sikap menyimpan. Bukan untuk siapa, untuk diri anda dan keluarga juga!

Tuesday, September 29, 2009

Jana semula duit

Tip elak 'sesak' lepas Aidilfitri

GARA-GARA mahu serba-serbi baru pada hari raya biarpun kemampuan terbatas, akal yang 'kreatif' puas memikir pelbagai kaedah yang kononnya bijak. Tidak hairanlah, ada lelaki sanggup membuat pinjaman peribadi, berbelanja menggunakan kad kredit dan melangsaikan wang simpanan. Semua tindakan ekstrem itu sanggup dilakukan semata-mata mahu tampil hebat pada Aidilfitri.

Seperti perumpamaan ‘biar papa asal bergaya’, individu yang tidak berfikir jauh sanggup melakukan apa saja asalkan diri puas disarung pakaian cantik-cantik, menjamah juadah enak serta membeli kelengkapan rumah termasuk kereta baru untuk melaram pada pagi Syawal.

Sekarang, selepas seminggu Aidilfitri berlalu, kegembiraan yang dirasai sebelum hari raya bertukar gundah. Mengapa tidak, individu yang boros berbelanja mula pening memikirkan soal kewangan. Kembali bertugas, macam-macam panggilan telefon diterima dari bank mahupun kenalan yang menuntut semula hutang. Pening dibuatnya!

“Inilah masalahnya apabila kita hanya memikirkan keseronokan membeli barang baru dan menukar segala yang dihajati. Sedangkan mereka tidak memikirkan kesannya pada kemudian hari termasuk beban kewangan yang terpaksa ditanggung.

“Tidak salah berbelanja andai mampu. Namun, dalam hal ini, ramai yang tidak berfikir panjang hingga sanggup mengambil jalan pintas termasuk berhutang,” kata Perunding Kredit di Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Mohd Nasir Mustafa.

Mohd Nasir mengulas senario orang ramai yang sanggup berhutang sebagai jalan mudah memastikan Aidilfitri disambut meriah. Ada yang sanggup mengambil tindakan ini, biarpun pada realitinya, ia membebankan.

Mohd Nasir berkata, amat penting untuk setiap individu merangka bajet kewangan sepanjang tahun dengan memperincikan setiap butiran aliran wang yang dibelanjakan mengikut keperluan serta kepentingan.

Melalui pengurusan kewangan yang bijak, beliau berkata, bebanan kewangan dapat diatasi. Ini sekali gus mengelak seseorang mengambil pinjaman peribadi atau menggunakan kad kredit.

“Masih ramai alpa hingga tidak mengambil kira soal kepentingan berjimat dan menguruskan kewangan. Sebenarnya, setahun sekali menyambut hari raya, kita sepatutnya mempunyai simpanan khusus atau tabungan. Melalui tabungan inilah kita boleh membeli pakaian dan persiapan lain,” katanya.

Ditanya apakah alternatif menjana kembali kewangan selepas musim perayaan, Mohd Nasir berkata, tiada jalan pintas untuk seseorang mengukuhkan kedudukan kewangan andai tidak mempunyai asas tabungan kukuh.

Beliau berkata, memandangkan isu kewangan sering dialami selepas musim perayaan, ia sepatutnya dijadikan iktibar bagi memulakan usaha menabung dengan memperuntukkan sebahagian daripada pendapatan bulanan.

“Tidak dapat banyak, sedikit pun tidak mengapa untuk memulakan tabungan. Sekurang-kurangnya ia boleh dijadikan amalan. Bayangkan, dalam tempoh setahun akan datang jumlah tabungan secara konsisten mencukupi untuk menampung perbelanjaan raya,” katanya.

Mohd Nasir menyarankan mereka yang kesempitan selepas hari raya tidak mudah terpengaruh memohon pinjaman atau menggunakan kad kredit sewenang-wenangnya. Ini kerana tindakan itu hanya menambah beban kewangan selain terjebak dengan krisis kewangan.

“Penting untuk kita selidik kesan dan akibat daripada tindakan kita. Seperti kad kredit, adalah wajib bagi kita untuk segera melangsaikannya dalam jumlah yang sama selepas menggunakannya. Ini bagi mengelak bebanan kredit berpanjangan,” nasihat beliau.

Bagi menangani belenggu kewangan, Mohd Nasir berkongsi tip membayar pinjaman dan hutang secara berjadual. Beringat sebelum terlewat!

Tip pembayaran hutang...

Kad kredit
# Amalkan pembayaran penuh
# Bayar bil sebelum tarikh matang untuk mengelakkan caj lambat bayar
# Hadkan pembelian barangan menggunakan kad kredit.

Rumah
# Amalkan pembayaran penuh sebelum tarikh matang
# Bayar lebih daripada ansuran bulanan biasa
# Faham caj yang dikenakan seperti caj bulanan dan lambat bayar.

Kereta
# Faham Akta Sewa Beli
# Amalkan bayaran penuh sebelum tarikh matang
# Elak pinjaman terlalu lama
# Bayar pendahuluan lebih tinggi dan pinjaman rendah
# Faham caj lain yang dikenakan seperti caj bulanan dan caj lambat bayar.

Mengapa bajet penting?
# Membantu mengawal perbelanjaan
# Mencegah berbelanja mengikut nafsu
# Menentukan kemampuan dari segi kedudukan kewangan
# Menjejaki perbelanjaan anda
# Membantu anda untuk menyimpan wang.

Apa kata mereka?

Rafidi Zainol, 31, penolong pengarah

“MASALAH kehabisan wang simpanan tidak akan timbul andai kita sudah membuat persiapan lebih awal dengan menabung serta berjimat cermat. Senario ini lazimnya berlaku jika kita tidak bijak menguruskan wang simpanan hingga akhirnya mendatangkan masalah terutama selepas musim perayaan.”

Hafizul Hisham, 21, kakitangan swasta

“BAGI yang kurang berkemampuan, usahlah beriya-iya menukar segala kelengkapan dan sibuk membeli-belah. Sebaiknya, raikan Aidilfitri secara sederhana dan gandingkan barang lama dengan kelengkapan baru yang dibeli ketika jualan murah. Bukankah jimat begitu?.”

Ahmad Furqan Zulkifli, 23, jururawat lelaki

“PERANCANGAN awal itu penting untuk menganggar bajet musim perayaan. Memandangkan ekonomi tidak menentu, sebaiknya kita berbelanja secara berhemah. Apa yang lebih penting, ketepikan sedikit wang untuk kes kecemasan.”

Sumber : Berita Harian Online

Popular Posts

Recent Posts

-

Unordered List

-

Text Widget

Sponsor




tracker

minyak kelapa dara biovco
BioVCO Groups
>> KLIK DISINI


penyakit resdung, sinus
twitter

Featured Video

Featured Video

Advertisement

Pengikut

Jalan menuju TAQWA

Popular Posts

Video Of Day