Ads

Tuesday, September 29, 2009

Jana semula duit

Tip elak 'sesak' lepas Aidilfitri

GARA-GARA mahu serba-serbi baru pada hari raya biarpun kemampuan terbatas, akal yang 'kreatif' puas memikir pelbagai kaedah yang kononnya bijak. Tidak hairanlah, ada lelaki sanggup membuat pinjaman peribadi, berbelanja menggunakan kad kredit dan melangsaikan wang simpanan. Semua tindakan ekstrem itu sanggup dilakukan semata-mata mahu tampil hebat pada Aidilfitri.

Seperti perumpamaan ‘biar papa asal bergaya’, individu yang tidak berfikir jauh sanggup melakukan apa saja asalkan diri puas disarung pakaian cantik-cantik, menjamah juadah enak serta membeli kelengkapan rumah termasuk kereta baru untuk melaram pada pagi Syawal.

Sekarang, selepas seminggu Aidilfitri berlalu, kegembiraan yang dirasai sebelum hari raya bertukar gundah. Mengapa tidak, individu yang boros berbelanja mula pening memikirkan soal kewangan. Kembali bertugas, macam-macam panggilan telefon diterima dari bank mahupun kenalan yang menuntut semula hutang. Pening dibuatnya!

“Inilah masalahnya apabila kita hanya memikirkan keseronokan membeli barang baru dan menukar segala yang dihajati. Sedangkan mereka tidak memikirkan kesannya pada kemudian hari termasuk beban kewangan yang terpaksa ditanggung.

“Tidak salah berbelanja andai mampu. Namun, dalam hal ini, ramai yang tidak berfikir panjang hingga sanggup mengambil jalan pintas termasuk berhutang,” kata Perunding Kredit di Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Mohd Nasir Mustafa.

Mohd Nasir mengulas senario orang ramai yang sanggup berhutang sebagai jalan mudah memastikan Aidilfitri disambut meriah. Ada yang sanggup mengambil tindakan ini, biarpun pada realitinya, ia membebankan.

Mohd Nasir berkata, amat penting untuk setiap individu merangka bajet kewangan sepanjang tahun dengan memperincikan setiap butiran aliran wang yang dibelanjakan mengikut keperluan serta kepentingan.

Melalui pengurusan kewangan yang bijak, beliau berkata, bebanan kewangan dapat diatasi. Ini sekali gus mengelak seseorang mengambil pinjaman peribadi atau menggunakan kad kredit.

“Masih ramai alpa hingga tidak mengambil kira soal kepentingan berjimat dan menguruskan kewangan. Sebenarnya, setahun sekali menyambut hari raya, kita sepatutnya mempunyai simpanan khusus atau tabungan. Melalui tabungan inilah kita boleh membeli pakaian dan persiapan lain,” katanya.

Ditanya apakah alternatif menjana kembali kewangan selepas musim perayaan, Mohd Nasir berkata, tiada jalan pintas untuk seseorang mengukuhkan kedudukan kewangan andai tidak mempunyai asas tabungan kukuh.

Beliau berkata, memandangkan isu kewangan sering dialami selepas musim perayaan, ia sepatutnya dijadikan iktibar bagi memulakan usaha menabung dengan memperuntukkan sebahagian daripada pendapatan bulanan.

“Tidak dapat banyak, sedikit pun tidak mengapa untuk memulakan tabungan. Sekurang-kurangnya ia boleh dijadikan amalan. Bayangkan, dalam tempoh setahun akan datang jumlah tabungan secara konsisten mencukupi untuk menampung perbelanjaan raya,” katanya.

Mohd Nasir menyarankan mereka yang kesempitan selepas hari raya tidak mudah terpengaruh memohon pinjaman atau menggunakan kad kredit sewenang-wenangnya. Ini kerana tindakan itu hanya menambah beban kewangan selain terjebak dengan krisis kewangan.

“Penting untuk kita selidik kesan dan akibat daripada tindakan kita. Seperti kad kredit, adalah wajib bagi kita untuk segera melangsaikannya dalam jumlah yang sama selepas menggunakannya. Ini bagi mengelak bebanan kredit berpanjangan,” nasihat beliau.

Bagi menangani belenggu kewangan, Mohd Nasir berkongsi tip membayar pinjaman dan hutang secara berjadual. Beringat sebelum terlewat!

Tip pembayaran hutang...

Kad kredit
# Amalkan pembayaran penuh
# Bayar bil sebelum tarikh matang untuk mengelakkan caj lambat bayar
# Hadkan pembelian barangan menggunakan kad kredit.

Rumah
# Amalkan pembayaran penuh sebelum tarikh matang
# Bayar lebih daripada ansuran bulanan biasa
# Faham caj yang dikenakan seperti caj bulanan dan lambat bayar.

Kereta
# Faham Akta Sewa Beli
# Amalkan bayaran penuh sebelum tarikh matang
# Elak pinjaman terlalu lama
# Bayar pendahuluan lebih tinggi dan pinjaman rendah
# Faham caj lain yang dikenakan seperti caj bulanan dan caj lambat bayar.

Mengapa bajet penting?
# Membantu mengawal perbelanjaan
# Mencegah berbelanja mengikut nafsu
# Menentukan kemampuan dari segi kedudukan kewangan
# Menjejaki perbelanjaan anda
# Membantu anda untuk menyimpan wang.

Apa kata mereka?

Rafidi Zainol, 31, penolong pengarah

“MASALAH kehabisan wang simpanan tidak akan timbul andai kita sudah membuat persiapan lebih awal dengan menabung serta berjimat cermat. Senario ini lazimnya berlaku jika kita tidak bijak menguruskan wang simpanan hingga akhirnya mendatangkan masalah terutama selepas musim perayaan.”

Hafizul Hisham, 21, kakitangan swasta

“BAGI yang kurang berkemampuan, usahlah beriya-iya menukar segala kelengkapan dan sibuk membeli-belah. Sebaiknya, raikan Aidilfitri secara sederhana dan gandingkan barang lama dengan kelengkapan baru yang dibeli ketika jualan murah. Bukankah jimat begitu?.”

Ahmad Furqan Zulkifli, 23, jururawat lelaki

“PERANCANGAN awal itu penting untuk menganggar bajet musim perayaan. Memandangkan ekonomi tidak menentu, sebaiknya kita berbelanja secara berhemah. Apa yang lebih penting, ketepikan sedikit wang untuk kes kecemasan.”

Sumber : Berita Harian Online

0 ulasan:

Post a Comment

Popular Posts

Recent Posts

-

Unordered List

-

Text Widget

Sponsor




tracker

minyak kelapa dara biovco
BioVCO Groups
>> KLIK DISINI


penyakit resdung, sinus
twitter

Featured Video

Featured Video

Advertisement

Pengikut

Jalan menuju TAQWA

Popular Posts

Video Of Day