Ads

Thursday, March 27, 2014

Keajaiban bersedekah

Keajaiban bersedekah

Amalan jadikan mukmin tenang, raih ganjaran 700 kali ganda

Dewasa ini amalan bersedekah dan bantu-membantu sudah tidak asing lagi dalam kalangan penduduk berbilang kaum serta budaya di negara ini. Sikap ini terus berkembang merentasi sempadan dunia hingga sampai ke negara memerlukan bantuan. 

Hal ini kerana semua fahaman agama yang berbeza mempunyai prinsip amalan nilai murni yang sama. Agama Islam, Buddha, Hindu, Kristian, Sikh, malah ajaran fahaman Confucius dan Taoist juga mengajar penganutnya agar sentiasa menjaga kebajikan masyarakat sekeliling dengan cara berkasih sayang dan saling membantu. 

Sesiapa yang membawa satu amal kebaikan, maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (daripada kebaikan) yang sama dengannya" - Surah al-Anam (ayat 160)

Rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam pasti lebih peka terhadap kesulitan dan kesusahan dihadapi saudara seagama di seluruh dunia. Apatah lagi apabila diuar-uarkan kisah penderitaan ditanggung saudara seagama sejak lebih 60 tahun lalu, tidak lain tidak bukan, rakyat di bumi Palestin. 

Kenapa sedekah dan bantu-membantu itu sering beriringan? Ini kerana ia adalah dua sikap yang lebih kurang sama. Kita membantu orang yang berada dalam kesusahan, ia juga dikira sedekah. Malahan, senyuman manis dan perkataan baik yang mendamaikan hati dan telinga orang yang mendengar pun adalah sedekah.

Hadis Rasulullah SAW, daripada Abu Hurairah berkata: “Rasulullah SAW bersabda setiap anggota badan manusia bersedekah setiap hari selama matahari masih terbit. Kamu mendamaikan antara dua orang (yang berselisih) adalah sedekah, kamu menolong seseorang naik ke atas kenderaannya atau mengangkat barangnya ke atas kenderaannya adalah sedekah, berkata yang baik itu adalah sedekah, setiap langkah berjalan untuk solat adalah sedekah, dan menyingkirkan suatu halangan dari jalan adalah sedekah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun, tidak pula dinafikan ada segelintir masyarakat kurang prihatin terhadap impak positif amalan sedekah terhadap dirinya dan juga masyarakat. Mereka berasa harta kurang apabila memberi selain berasa takut kehilangan barang kesayangan. 

Mereka inilah yang kurang kefahaman dan keyakinan mengenai kelebihan bersedekah seperti yang dijelaskan di dalam al-Quran dan Sunnah.

Bagi yang kurang faham, bukalah hati dan minda untuk memahami betapa besarnya ganjaran yang Allah sediakan. Terdapat sifir mudah termaktub di dalam al-Quran di dalam Surah al-Anam, ayat 160, yang bermaksud, “Sesiapa yang membawa satu amal kebaikan, maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (daripada kebaikan) yang sama dengannya.”

Dalam hal ini, Pengetua Pondok Pesantren Daarul Quran Bulak Santri, Indonesia, Yusuf Mansur mempunyai penjelasan mengenai keajaiban sedekah.

Katanya, berdasarkan dalil al-Quran di atas, setiap kali kita memberi satu, kita akan mendapat 10. Asalnya, sekiranya kita ada 10, kita berikan satu pada orang lain yang memerlukan, baki yang kita ada ialah sembilan (10 – 1 = 9). 

Tetapi apabila kita amalkan formula sifir ini dalam konteks sedekah, nilaian satu yang kita berikan itu akan digandakan dengan 10. Oleh itu, baki yang kita miliki selepas memberi satu tadi bukan sembilan, tetapi 19.

Ini adalah jumlah yang kita miliki selepas memberi atau bersedekah (1 x 10 = 10). Natijahnya, baki yang kita ada apabila ditambah dengan gandaan 10 tadi ia menjadi 19 (9 + 10 = 19 ). Jika beri dua, maka hasilnya akan dapat 28, dan begitulah seterusnya.

Jika kita memberi, memang secara zahirnya apa yang kita miliki itu akan berkurang. Namun, ia bertambah di sisi Allah SWT, malahan ganjarannya boleh sampai sehingga 700 kali ganda. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, setiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji, dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 261).

Apabila memahami sifir sedekah di atas, maka yakinlah sedekah akan menjadikan kita kaya dengan sekelip mata. Masakan tidak kaya, apabila memberi satu, bukan berkurang, tetapi ditambah dengan gandaan 10. Malah boleh digandakan hingga 700 kali ganda. 

Justeru, jadikan amalan sedekah bukan sebagai amalan kebetulan iaitu jika tidak ke masjid, tidak bersedekah. Jika bukan hari Jumaat, tiada yang mahu disumbangkan, tetapi jadikanlah ia sebagai amalan harian. 

Kalau tiada yang meminta, kitalah yang mencarinya. Alangkah hebatnya seorang Muslim yang tidak akan tenang hatinya jika tidak dapat memberi dalam sehari. 

Saturday, January 11, 2014

Merancang kedudukan kewangan sihat

Di manakah harus menabung wang? Adam sedia berkongsi pengalamannya dan mengingatkannya anaknya supaya tidak bersikap tamak semasa melabur dan jangan terlalu mengikut perasaan. Dua faktor yang biasanya menyebabkan orang mengalami kerugian di dalam pelaburan mereka adalah Sikap Tamak dan Takut. Hanya jika anda dapat mengawal ketamakan anda dan tidak terlalu mengikut perasaan, bolehlah anda menceburi dunia pelaburan dengan selamat. Mari kita sama-sama terokai beberapa pilihan pelaburan yang sedia ada bagi Alisa.

Pelaburan Faedah Tetap dan Tunai

Ini mungkin bentuk “pelaburan” yang paling lazim di kalangan ramai rakyat Malaysia dan merangkumi akaun simpanan bank, simpanan tetap dan pelaburan pendapatan lain seperti bon kerajaan. Pilihan ini dianggap paling selamat kerana kemungkinan anda kehilangan modal anda adalah agak tipis. Walau bagaimanapun, seperti mana kita ketahui tentang prinsip asas pelaburan, semakin kurang risikonya, semakin kuranglah pulangan yang bakal diperoleh. Mungkin pelaburan anda tidak terdedah kepada sebarang risiko, tetapi mengikut edaran masa, masih wujud risiko terhadap nilai sebenar modal anda – risiko inflasi!
Jadi, melabur jumlah wang yang besar di dalam kategori ini bukanlah langkah yang bijak. Meskipun begitu, ia masih pelaburan yang menjadi pilihan atas sebab-sebab berikut:
Digunakan sebagai akaun transaksi
Untuk menyimpan wang tunai bagi belanja jangka pendek dan sebarang kecemasan
Bagi simpanan jangka pendek sekiranya anda tidak mampu mendedahkan modal anda kepada sebarang risiko

Saham

Ini merupakan jenis pelaburan yang paling “hangat” dan apabila pasaran ”panas”, seolah-olah semua orang mempunyai “maklumat penting” yang boleh membantu. Ramai daripada kita melabur wang hasil titik peluh kita di dalam pelaburan sedemikian tanpa mengetahui apa-apa tentangnya – kita semua hanya mahu mendapat wang dengan cara senang. Sebenarnya, saham (juga dikenali sebagai ekuiti atau stok) mewakili pemilikan dalam sesebuah syarikat dan apabila anda membeli sahamnya, anda menjadi sebahagian daripada pemilik syarikat tersebut. Jika syarikat itu meraih keuntungan, anda berpeluang mendapat hasil daripada peningkatan dalam harga sahamnya (perolehan modal) atau dalam bentuk pembayaran dividen (pendapatan). Sebaliknya, jika syarikat itu mengalami kerugian, pelaburan anda juga akan turut terjejas apabila nilai sahamnya jatuh.
Pastinya anda telah banyak dengar nasihat pakar tentang “Beli pada Harga Rendah dan Jual pada Harga Tinggi” dan ini mungkin kelihatan mudah untuk dilakukan. Walau bagaimanapun, kebanyakan daripada kita kelihatan seolah-olah melakukan perkara yang bertentangan pula , bukankah begitu? Adam ada sedikit nasihat tentang Pelaburan Saham kerana jenis pelaburan ini telah membantunya membina jumlah kekayaan yang agak besar. Berikut adalah beberapa daripada perkara yang dilakukannya:
Buat kajian sebelum melabur - ketahuilah bagaimana syarikat tersebut membuat duit serta prospek masa depannya
Tetapkan sasaran pulangan anda – ketahuilah bila masanya untuk meraih keuntungan dan jangan sekali-kali bersikap tamak
Tetapkan tahap kerugian anda – ketahuilah bila masanya untuk menghindari kerugian yang lebih besar dan jangan terlalu mengikut perasaan
Jika anda yakin tentang prestasi sesebuah syarikat serta prospek pertumbuhannya, anda mungkin ingin mengguna pakai strategi “Beli & Simpan” bagi jangka masa panjang

Dana Amanah Saham

Bentuk pelaburan ini telah mendapat banyak perhatian sejak kebelakangan ini dan berjaya menarik sebahagian besar daripada pelaburan. Ini khususnya skim-skim pelaburan kolektif dan dananya digabungkan dan diurus oleh pengurus dana profesional bagi pihak pelabur amanah saham. Dana dilabur mengikut objektif pelaburan dan bergantung pada risiko pilihan anda, kerana anda mempunyai pilihan memilih daripada pelbagai dana yang ditawarkan di pasaran.
Pelaburan di dalam Amanah Saham mungkin sesuai bagi mereka yang:
Baru kepada dunia pelaburan
Tidak tahu atau tidak mahu tahu cara melabur sendiri dan sanggup mendapat khidmat pengurus dana profesional dalam pemilihan pelaburan
Mempunyai sejumlah wang yang kecil untuk melabur (dengan mempunyai pilihan untuk membuat sumbangan tambahan secara tetap)
Sedang mencari kepelbagaian untuk meminimumkan risiko
Sebenarnya, Alisa sudah pun menabung wangnya di dalam pelaburan sedemikian kerana Amanah Sahamnya adalah suatu bentuk skim pelaburan Unit Amanah.

Harta Tanah

Ini satu lagi kelas pelaburan yang semakin popular di kalangan rakyat Malaysia, khususnya mereka yang tidak mempunyai jumlah wang yang besar untuk dilabur. Malah, banyak seminar telah diadakan untuk mengajar orang cara meraih keuntungan daripada pelaburan harta tanah dan terdapat banyak kisah kejayaan mengenai cara para jutawan telah lahir daripada pelaburan harta tanah. Sama seperti Saham, harga harta tanah boleh turun naik dan terdapat tempoh-tempoh hasil pulangan yang tinggi mahupun yang rendah. Oleh itu, pelaburan harta tanah secara amnya adalah pelaburan jangka masa panjang yang agak sesuai.
Kita biasanya dengar tentang klise Peraturan Penting bagi Pelaburan Harta Tanah: Lokasi, Lokasi dan Lokasi! Itulah hakikatnya dan anda betul-betul perlu mempunyai mata yang tajam serta nasib yang baik dalam bidang pelaburan harta tanah ini. Pelaburan harta tanah pada amnya sesuai bagi pelabur yang:
Tidak memerlukan pengeluaran wang bagi sebarang "kecemasan"
Mempunyai horizon pelaburan jangka masa panjang
Mempunyai keupayaan untuk menjelaskan semua pembayaran balik gadai janji - walaupun kadar faedah semakin naik atau harta tanah tersebut tidak disewa oleh sesiapa.

Kata-kata Hikmah

Selepas mendengar kata-kata ayahnya tentang pilihan-pilihan pelaburan yang sedia ada, Alisa lebih cenderung ke arah pelaburan dalam harta tanah. Dia terfikir bagaimana cara dia boleh “berkecimpung’ di dalam bidang tersebut dan mula menjadi seorang Tuan Tanah (atau Puan Tanah, dalam kes ini!) Kita akan mendalami topik ini dalam artikel yang seterusnya tetapi sementara itu, anda boleh berfikir lanjut tentang jenis-jenis pelaburan yang paling sesuai bagi profil risiko peribadi anda dan keperluan spesifiknya.

Nasihat Ayah:

  1. Jangan Bersikap Tamak dan Jangan Terlalu Mengikut Perasaan Semasa Melabur
  2. Biarlah Wang Anda Mendapatkan Pulangan Yang Setimpal, lebih-lebih lagi, Mendapat Pulangan Yang Lebih Tinggi Lagi.
  3. Buatlah Kajian Dan Persediaan Terlebih Dahulu!

Merancang kedudukan kewangan sihat

Petikan artikel dari Harian Metro, 18 Februari 2013

Anda tidak boleh mencapai kedudukan kewangan yang sihat jika anda tidak merancang.

Bagaimana caranya untuk mengetahui jika anda mempunya kedudukan kewangan yang sihat atau tidak. Berikut adalah ciri-ciri yang boleh dijadikan sebagai panduan/

1. Kebolehan untuk hidup tanpa bergantung kepada hutang pengguna
Hampir semua rakyat Malaysia mempunyai hutang pengguna. Kebanyakannya mungkin mempunyai kad kredit (bukan satu, malah beberapa!), dan sesetengahnya pula menanggung hutang yang tertunggak dari satu bulan kepada satu bulan yang lain. Kereta yang dibeli melalui sewa beli juga adalah satu jenis hutang.

Hutang pengguna didefinasikan sebagai proses meminjam wang untuk sesuatu yang nilainya akan berkurangan selepas membelinya. Golongan muda yang baru bekerja akan menggunakan kemudahan hutang pengguna untuk membeli peralatan rumah yang baru atau kereta. Terdapat juga golongan pekerja yang bergantung kepada hutang untuk menyara hidup sehingga akhir bulan kerana masalah kewangan. Oleh sebab terlalu berganting kepada hutang pengguna mengakibatkan mereka menghadapi kegawatan kewangan.

2. Keupayaan memiliki rumah bebas hutang sebelum bersara
Anda hidup pada zaman yang berbeza daripada zaman nenek moyang anda. Begitu juga dengan cara untuk memiliki rumah adalah berbeza. Pada hari ini, dengan membayar 10 peratus sebagai wang pendahuluan (sesetengah tidak mengenakan pendahuluan langsung), anda sudah boleh memiliki rumah. Sepatutnya bayaran ansuran rumah habis dibayar semasa bersara, tetapi sekarang institusi kewangan mungkin akan memanjangkan tempoh pembayaran sehingga anda berumur 75 tahun! Kemudahan ini mungkin menyebabkan jumlah ansuran bulanan semakin rendah, tetapi ini juga bermakna anda tidak boleh bersara sehingga anda mencapai usia 75 tahun!

Keadaan kewangan seseorang berada pada tahap optimum apabila ia tidak perlu lagi membayar hutang rumah selepas bersara. Pilihan lain ialah anda mempunyai dana yang boleh menjana pendapatan yang boleh membayar ansuran bulanan semasa bersara. Walau apapun caranya, anda dapat bersara tanpa hutang.

3. Keupayaan untuk menikmati persaraan yang terjamin dan dihormati
Kajian menunjukkan kurang daripada 5 peratus individu yang mempunyai kebebasan kewangan semasa bersara. Sebahagian daripadanya akan mengalami keadaan kewangan yang mengecewakan! Oleh itu menabunglah duit sebanyak boleh ketika anda masih boleh manjana pendapatan. Seperti kata pepatah “Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian!”

4. Keupayaan untuk memberi pelajaran anak-anak yang menjamin pekerjaan
Anak-anak dan cucu-cucu anda memerlukan persediaan untuk mendapatkan pekerjaan yang akan menjamin masa hadapan mereka. Oleh itu, anda perlu melabur dengan memberikan pendidikan yang secukupnya kepada keluarga anda agar ia dapat memberikan pulangan yang baik pada masa hadapan.

Graduan universiti boleh menjana pendapatan lebih daripada dua kali ganda pendapatan seumur hidup seorang lepasan SPM dan empat kali ganda pendapatan seumur hidup bagi mereka yang berhenti sekolah tanpa sebarang kelulusan. Sebaik-baiknya anda telah menyediakan dana apabila kegunaannya diperlukan. Anda patut melatih anak-anak anda supaya mereka mampu memilih jalan yang boleh membawa kepada kehidupan yang baik.

5. Keupayaan untuk membayar secara tunai barangan runcit
Kehidupan seharian memerlukan perbelanjaan harian. Adalah penting bagi seseorang yang mempunyai kewangan yang baik membayar secara tunai untuk barangan yang diperlukan. Anda mungkin membayar barangan runcit dan barangan keperluan dengan kad kredit, tetapi pastikan anda membayar penuh pada setiap bulan. Jikalau tidak, kadar faedah ke atas tunggakan baki kad kredit anda akan meningkatkan jumlah perbelanjaan anda.

6. Keupayaan untuk bertahan ketika menghadapi kecemasan
Kebanyakan kegawatan kewangan bersifat jangka pendek. Keluarga yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh mempunyai persedian sekurang-kurangnya enam bulan perbelanjaan mereka daripada “dana kecemasan”. Kehilangan pekerjaan, dibuang kerja atau diturunkan taraf kerja adalah sesuatu yang di luar jangkaan, dan ia tidak sepatutnya boleh menggugat kehidupan anda.

Sesebuah keluarga mungkin boleh ditimpa kemalangan, mala petaka semula jadi atau krisis kewangan yang teruk. Keluarga yang mempunyai keadaan kewangan yang sihat boleh mengharungi cabaran ini.

7. Keupayaan untuk hidup sepenuhnya, termasuk percutian, rekreasi dan aktiviti keluarga
Kehidupan akan terus berlalu sama ada anda mempunyai perancangan ataupun tidak. Oleh itu, anda perlu berhati-hati menjalani kehidupan pada masa ini dan bersikap beringat-ingat untuk menjalani kehidupan yang akan datang. Orang yang mempunyai kedudukan kewangan yang sihat dapat mengimbangi pengalaman peluang masa kini sambil membuat persiapan untuk masa akan datang. Sesetengah orang berpendapat bahawa semua keluarga harus pergi bercuti setiap tahun. Percutian, rekreasi dan masa rehat adalah bergantung kepada kedudukan kewangan yang sihat.

Simpan, jimat + jana duit 21 hari

Adakah anda sering rasa buntu mengenai keadaan kewangan anda? Apa kata cuba ikuti aktiviti 21 hari untuk menyimpan, berjimat dan menjana duit ini untuk memperbaiki kewangan anda.
HARI 1: Jejak segala perbelanjaan anda 
Tidak kira perbelanjaan besar atau kecil, catitkannya dan jejak wang keluar dari poket atau bank anda. Setiap transaksi perlu direkodkan kerana sekiranya anda tidak menjejaki kewangan anda, anda pasti akan lupa dan tidak tahu ke mana wang anda pergi di hujung bulan! 
HARI 2: Simpanan secara automatik 
Lakukan simpanan secara automatik. Lakukan arahan kepada bank anda untuk membuat pemindahan wang secara automatik setiap bulan. Dengan cara ini, ia memberi jaminan pada diri anda sendiri untuk sentiasa menyimpan sejumlah wang setiap bulan. 


HARI 3: Laburkan wang simpanan 

Bukan saja menyimpan wang, pastikan wang yang disimpan dilaburkan. Tidak perlu melabur pada sesuatu yang anda tidak faham seperti pasaran saham. Mula membaca dan memantau pelaburan seperti unit amanah atau dana bersama. Kunjungi bank dan pelajari risalah mengenai jenis pelaburan yang disediakan. 


HARI 4: Simpan wang untuk kecemasan 

Mulakan simpanan wang untuk kecemasan. Sebagai tambahan, ini adalah satu keutamaan kerana malang tidak berbau. Sebaiknya, ketepikan perbelanjaan anda sekurang-kurangnya untuk enam bulan akan datang. Dana ini adalah dana kecemasan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diduga pada punca pendapatan anda. 


HARI 5: Rancang perbelanjaan anda 

Lakukan perancangan yang rapi berhubung perbelanjaan dan bakal perbelanjaan anda. Fikirkan wang masuk dan wang keluar untuk beberapa bulan akan datang dan lakukan bajet supaya dapat mengimbangi pendapatan dan perbelanjaan akan datang di samping tidak mengganggu perancangan menyimpan anda. Tanpa perancangan wang, anda merancang untuk gagal dalam hal kewangan. 


HARI 6: Hentikan penggunaan kad kredit 

Bagi mereka yang sering menggunakan kad kredit, pasti ini agak sukar. Tetapi untuk berjaya dalam kewangan, sememangnya perlu lakukan perkara yang susah. 

Hentikan penggunaan kad kredit terutama dari segi pembelian barangan yang tidak diperlukan. Bulan ini, tinggalkan kad kredit di rumah dan gunakan tunai untuk transaksi. 


HARI 7: Hentikan keahlian yang tidak digunakan 

Anda memiliki keahlian kelab, gimnasium, hiburan atau sesuatu yang anda sendiri tidak gunakan tetapi melakukan bayaran bulanan? Hentikannya. 

Sekiranya ada, kita sering melewat-lewatkan masa untuk menghentikannya. Kali ini, anda hentikan tanpa perlu berfikir panjang. 


HARI 8: Hentikan perbelanjaan harian kecil yang tidak diperlukan 

Pembelian harian ini mungkin membabitkan gula-gula, majalah ataupun sekotak rokok. Anda juga boleh menghentikan lawatan ke kedai mamak dan kurangkan makanan yang tidak sihat. 

Mengurangkan perbelanjaan yang kecil di sana dan sini, akhirnya akan membuatkan simpanan yang besar. 


HARI 9: Jaga kesihatan dan kurangkan perbelanjaan 

Jaga kesihatan, lakukan senaman setiap hari dan amalkan pemakanan yang sihat. Tambahkan buah-buahan dan sayur-sayuran serta kurangkan gula. Dengan menjaga kesihatan, pastinya kos perbelanjaan perubatan juga akan diminimumkan pada masa akan datang. 


HARI 10: Simpan untuk hari tua anda 

Buka tabung untuk hari tua anda. Mungkin anda sudah mempunyai simpanan KWSP, tetapi sering kali simpanan KWSP tidak mencukupi apabila bersara kelak. 

Lakukan simpanan khas berasingan kerana tiada kemudahan pinjaman untuk bersara kelak. 


HARI 11: Urus bayaran hutang anda 

Anda mempunyai hutang rumah, kereta atau kad kredit? Tiba masanya untuk anda menguruskannya dengan lebih strategik. Pelajari bayaran faedah yang diperlukan. 

Sekiranya boleh dan berbaloi, ubah pinjaman anda ke institusi kewangan yang menawarkan faedah yang lebih rendah. Kemudian dengan cara strategik, lakukan bayaran balik secepat mungkin mengikut kemampuan anda. 

Wang yang anda jimat daripada cabaran hari yang lepas boleh digunakan untuk melangsaikan hutang dengan lebih cepat. 


HARI 12: Tawar menawar 

Jangan lupa tawar menawar apabila membeli barangan di kedai. Bunyinya agak kedekut bagi sesetengah orang, tetapi sering kali sekiranya anda bijak menawar, pastinya penjual boleh memberi sedikit diskaun walaupun kecil. 

Jangan lupa, simpanan yang sedikit akan menjadi pelaburan yang besar kelak. 


HARI 13: Telefon bimbit dan siaran televisyen 

Periksa kembali pakej telefon bimbit dan siaran televisyen anda. Adakah ia pakej terbaik dan anda gunakan secara optimum? 

Adakalanya anda boleh kurangkan pakej bayaran telefon bimbit dan juga siaran televisyen kerana anda tidak menggunakannya secara optimum. Mana tahu, ada saluran yang anda tidak pernah buka dan anda boleh memotongnya sekali gus menjimatkan belanja bulanan. 


HARI 14: Cari jualan istimewa 

Apabila perlu berbelanja, cari tempat yang menawarkan harga istimewa. Begitu juga dengan makan minum, terdapat restoran yang menawarkan harga diskaun pada waktu dan hari tertentu. Tugas anda adalah berbelanja dengan penuh hemah dan merancang tempat dan masa anda perlu melakukan pembelian untuk menjimatkan wang. 


HARI 15: Tambahkan nilai diri anda 

Pelajari skil baru. Dengan menambahkan ilmu, anda akan dapat menambahkan nilai anda dalam sesuatu industri. 

Menerusi tambahan nilai itu, ia meletakkan anda dalam keadaan yang lebih baik untuk dinaikkan pangkat ataupun sekiranya menjalankan perniagaan, menambahkan bayaran untuk perkhidmatan perniagaan anda. 

Apakah tempat terbaik untuk melaburkan wang anda? Laburkan pada ilmu untuk meningkatkan nilai diri anda. 


HARI 16: Hentikan perbelanjaan emosi 

Tidak kira lelaki atau wanita, manusia adalah insan yang beremosi. Ketika membeli juga adalah keputusan emosi yang sering menguasai diri. Perhatikan keadaan apabila anda ingin membeli sesuatu yang mengikut emosi dan bukan sekadar logik. Dikhuatiri keputusan pembelian mengikut emosi satu keputusan yang silap. 

Tunggu sebelum membeli. Sekiranya ingin membeli sesuatu yang agak tinggi harganya, tunggu seminggu sebelum membeli supaya dapat memikirkan keputusan itu dengan lebih mendalam. 


HARI 17: Minta kenaikan gaji 

Ya, sekiranya anda rasakan nilai anda bertambah lebih daripada apa yang dibayar, apa kata duduk dan berbincang dengan majikan secara baik. Berikan sebab anda rasa anda layak diberi kenaikan gaji berserta rekod dan bukti pencapaian anda. 

Kalau anda tidak minta kenaikan, sudah pasti tidak dapat. Tetapi sekiranya anda minta, peluang untuk mendapat kenaikan sudah ada. 


HARI 18: Belajar cara menjana pendapatan sampingan 

Fikirkan cara menambahkan aliran pendapatan anda. Daripada hanya bergantung kepada satu punca pendapatan, fikirkan cara mendapat pendapatan tambahan. 

Mungkin anda boleh melakukannya dengan menjalankan perniagaan kecil-kecilan, perniagaan Internet atau menawarkan sebarang perkhidmatan mengikut kebolehan dan skil anda. 


HARI 19: Biayai semula pinjaman rumah 

Pernah anda terfikir mengenai pembiayaan semula pinjaman rumah anda? Prosesnya menjadi semakin mudah namun anda perlu mengetahui sama ada langkah itu berbaloi mengikut keperluan anda jangka panjang. Membiayai rumah dapat mengurangkan bayaran bulanan rumah anda. 


HARI 20: Pelaburan yang lain 

Mungkin tiba masanya untuk anda lebih mendalami pelaburan. Sekrianya selama ini hanya melabur di institusi kewangan, apa kata anda mula pelajari pelaburan hartanah, emas, perak, saham dan pelbagai bentuk pelaburan lain. 

Terdapat banyak platform pelaburan untuk dipelajari. Apa yang penting,cari ilmu terlebih dulu dan lakukan pelaburan mengikut minat anda dan bukan kata-kata orang. 


HARI 21: Belanja diri anda! 

Ya, walaupun perkongsian 21 hari ini lebih kepada menjimat, menyimpan dan menjana wang, jangan lupa juga ada masanya anda perlu belanja diri anda sendiri sebagai ucapan tahniah kepada anda kerana berjaya mengawalkewangan anda. 

Cuma jangan jadikan ini alasan untuk berbelanja besar. Belanja diri sendiri mengikut kemampuan asalkan anda bahagia dan teruskan momentum menjimat, menyimpan dan menjana pendapatan diri anda untuk hari yang akan datang!

Popular Posts

Recent Posts

-

Unordered List

-

Text Widget

Sponsor




tracker

minyak kelapa dara biovco
BioVCO Groups
>> KLIK DISINI


penyakit resdung, sinus
twitter

Featured Video

Featured Video

Advertisement

Pengikut

Jalan menuju TAQWA

Popular Posts

Video Of Day