DUA tahun lalu, Ken Karpman dan keluarganya menjalani kehidupan mewah. Mereka mempunyai keahlian kelab golf, sering bercuti ke destinasi hebat dan tinggal di rumah seluas 4,000 kaki persegi.
Pendapatan Karpman mencecah AS$750,000 setahun, iaitu jauh meninggalkan kadar purata pendapatan tahunan rakyat Amerika Syarikat.
Namun kini, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Hedge Fund ini boleh ditemui menghantar piza di Florida dengan upah AS$7.29 sejam. Semuanya kerana tidak mempunyai simpanan cukup untuk menghadapi krisis ekonomi dunia.
“Kami tidak ambil tahu tentang harga barangan di kedai. Kami sekadar mencampakkan ia ke dalam troli dan terus membayarnya. Hidup begitu menyeronokkan. Mengapa ia harus berakhir?” kata Karpman dalam satu wawancara khas di televisyen.
Pemilik sarjana ini seorang pedagang jualan ekuiti. Dia terlalu percaya pada urus niaga dengan syarikat besar, tanpa menduga impak kemelesetan ekonomi global.
Karpman dan isterinya, Stephanie, memberitahu bahawa rumah mereka di Tampa, Florida sudah tergadai sementara hutang kad kredit sudah terkumpul sebanyak AS$100,000. Anak-anak mereka masih meneruskan pembelajaran di sebuah institusi persendirian namun dikatakan ada pihak lain yang menanggung kosnya.
“Memang ini menyedihkan. Namun, saya harap kisah kami dijadikan iktibar. Kami merupakan antara ratusan ribu warga Amerika yang kehilangan kerja atau sedang bersusah-payah membayar semula pinjaman,” kata Karpman.
Sumber ini diambil dari akhbar Kosmo hari ini. Kisah ini boleh dijadikan iktibar kepada kita betapa pentingnya ilmu pengurusan kewangan peribadi.
Tidak kisahlah berapa banyak wang yang anda dapat, tetapi jika anda tidak menutup kebocoran (aliran wang keluar) dan tidak menyimpan maka tidak ada gunanya anda mendapat wang yang banyak tadi.
Menyimpan atau simpanan merupakan benteng pertahanan yang paling asas dalam pengurusan kewangan peribadi. Ia merupakan perkara yang paling penting kerana ia dapat menyelamatkan kita apabila berlaku sebarang kecemasan seperti anak sakit, kemalangan, kereta rosak dan bermacam-macam lagi.
Jadi, amalkanlah sikap menyimpan. Bukan untuk siapa, untuk diri anda dan keluarga juga!
0 ulasan:
Post a Comment