Ads

Thursday, January 6, 2011

Harga emas cecah RM4,650 seaun

KUALA LUMPUR 6 Jan. - Harga emas dunia bakal mencecah paras AS$1,500 (RM4,650) satu auns pada tahun ini, kata Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Poh Kong Holdings Bhd. (Poh Kong), Datuk Eddie Choon.

Katanya, peningkatan itu dijangka berlaku memandangkan trend semasa dan permintaan berterusan di pasaran.

''Pada tahun lalu, harga emas bagi satu auns adalah sekitar AS$1,400 (RM4,340) dan ia terus meningkat.

''Walaupun pada awal tahun ini, harganya mengalami sedikit penurunan, tetapi kami yakin ia bakal mencecah AS$1,500 satu auns,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas di minta mengulas mengenai harga pasaran semasa emas pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan Poh Kong di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Perhubungan Korporat, Pentadbiran & Sumber Manusia, Margaret Hon dan Akauntan, Hoh Sze Haw.

Tahun lalu, harga komoditi mengalami lonjakan positif apabila ditutup pada paras yang tinggi terutama bagi emas hingga ke minyak mentah.

Harga emas ditutup pada paras AS$1,421.40 (RM4406.34) satu auns pada hari terakhir 2010, naik kira-kira 31 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Para penganalisis menjangkakan trend peningkatan harga akan berterusan pada tahun ini kerana emas merupakan komoditi paling cemerlang dari aspek peningkatan harga pada tahun lalu.

Secara tradisinya ia dilihat sebagai pelaburan perlindungan nilai dan sering digunakan sebagai mekanisme lindung nilai terhadap deflasi.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan perniagaan, Choon berkata, pada tahun ini Poh Kong akan menambah tiga lagi cawangan dengan pelaburan sebanyak RM9 juta.

''Tiga cawangan tersebut terletak di Semenanjung Malaysia dengan yang pertama adalah di Nilai, Negeri Sembilan dijangka dibuka pada suku pertama tahun ini.

''Dua lagi cawangan masih belum dikenal pasti. Pelaburan bagi setiap cawangan adalah sebanyak RM3 juta,'' jelasnya.

Penambahan tiga cawangan itu akan menyaksikan Poh Kong memiliki 100 buah cawangan di seluruh negara.

Tambah beliau, setakat ini fokus perkembangan perniagaan adalah tertumpu di Semenanjung Malaysia.

''Dalam masa terdekat ini, kami masih belum merancang untuk menambah cawangan di Malaysia Timur dan di luar negara.

''Tetapi kami sentiasa meninjau sebarang peluang. Sekiranya ia bertepatan dengan kehendak perniagaan Poh Kong, kami akan pertimbangkan pada masa hadapan,'' katanya.

Poh kong menguasai 15 peratus pasaran barangan kemas emas dan tahun ini merupakan ulang tahun syarikat itu yang ke 35 tahun.

Pelbagai promosi dijalankan bagi menyambut ulang tahun itu sehingga 31 Ogos ini.




Friday, October 29, 2010

Iktibar skandal mata wang

TERLALU awal untuk menyatakan apakah yang sebenarnya berlaku di sebalik skandal syarikat Securency International yang membekal bahan polimer untuk mencetak wang kertas di Australia dan 26 negara lain di dunia. Syarikat ini yang berpangkalan di Melbourne, Australia merupakan syarikat usahasama di antara syarikat British, Innovia Films dan Reserve Bank of Australia (RBA).

Syarikat ini didakwa merasuah orang tengah bagi memperoleh urus niaga mencetak wang kertas dengan kerajaan negara lain. Lebih teruk lagi, syarikat ini dituduh merasuah Timbalan Gabenor sebuah bank pusat dengan menawarkan pelacur Asia. Malahan, ada laporan menyatakan Gabenor sebuah bank pusat negara Asia juga terlibat dengan gejala rasuah melalui pembayaran komisen dan juga rasuah seks.

Akibat daripada pendedahan ini, Malaysia adalah antara sebahagian negara yang mendesak kerajaan Australia menyiasat skandal rasuah dan penyelewengan syarikat pembekal mata wang ini.

Melihat kepada skandal terbaru ini, bolehlah dikatakan bahawa pada masa kini, mata wang kertas bukan sahaja menjadi medium pertukaran tetapi juga satu mekanisme untuk mengaut keuntungan secara melampau. Asas kewujudan mata wang sebagai medium pertukaran semakin lama semakin dipinggirkan. Buktinya, negara kita pernah diserang oleh spekulator mata wang yang tamak untuk memperoleh keuntungan sekelip mata melalui urus niaga mata wang.

Tidak dapat disangkal lagi, pada masa kini fungsi mata wang diperluaskan lagi sebagai barangan dagangan yang boleh dijual beli. Fungsi inilah menyebabkan segelintir pihak yang sanggup melakukan rasuah hanya semata-mata untuk mendapatkan urus niaga membekal mata wang kertas kepada negara-negara lain.

Nilai mata wang melalui kadar pertukarannya yang sering turun naik dan tidak stabil memberi peluang kepada golongan sebegini untuk mendapat kesenangan dengan mudah. Turun naik kadar pertukaran mata wang jugalah menyebabkan Amerika Syarikat (AS) berharap kadar pertukaran mata wang China, yuan lebih kukuh agar dapat mengurangkan defisit dagangannya dengan China. Manakala, China pula berasa gusar dengan krisis hutang di Eropah yang menyebabkan perdagangan di antara negaranya dengan Eropah semakin terjejas jika mata wang yuan semakin kukuh.

Krisis ini akan menjejaskan permintaan Eropah ke atas barangan negara China dan kesannya akan lebih teruk lagi jika kadar pertukaran yuan semakin mengukuh berbanding euro. Malahan, permintaan ke atas barangan China akan lebih terjejas lagi apabila banyak negara Eropah bercadang untuk memotong bajet mereka.

Pemotongan bajet seperti manfaat untuk golongan tidak bekerja dan pengurangan bajet pendidikan menggambarkan negara-negara Eropah sedang berusaha mengurangkan perbelanjaan mereka. Perkara ini cukup menarik perhatian masyarakat dunia kerana sejak Perang Dunia Kedua, negara-negara Eropah mengamalkan dasar ekonomi negara berkebajikan. Langkah ini akan menyebabkan permintaan terhadap barangan negara-negara lain juga akan berkurangan dan seterusnya menjejaskan perdagangan dunia.

Meskipun AS mengatakan kesan krisis ini adalah minimum tetapi ramai pakar ekonomi mengatakan kesannya sukar diramal. Impaknya akan menjadi lebih parah jika krisis ini merebak ke negara-negara lain. Perdebatan di antara kuasa ekonomi terbesar dan ketiga terbesar di dunia mengenai mata wang ini menggambarkan kelemahan penggunaan mata wang kertas. Masing-masing ingin menjaga kepentingan negara mereka sahaja. Meskipun, China mengatakan ia bertujuan menstabilkan ekonomi, namun faktor utamanya adalah untuk memastikan permintaan ke atas barangan mereka tidak terjejas.

Kadar mata wang dunia yang tidak menentu, sering berubah-berubah dan dijadikan barangan dagangan menyebabkan penyelewengan mudah berlaku, seterusnya menjejaskan kestabilan ekonomi dunia.

Satu-satunya cara untuk menangani ketidakstabilan ekonomi dunia ini adalah dengan menggunakan emas sebagai mata wang dunia atau lebih dikenali sebagai dinar emas. Kelebihannya memang telah diakui kerana mempunyai nilainya yang sebenar dan telap inflasi berbanding rejim mata wang sekarang.

Paling utama, mata wang dunia akan mempunyai satu nilai yang stabil dan tetap untuk digunakan di mana-mana sahaja. Persaingan ekonomi di antara negara juga akan lebih adil berdasarkan faktor kualiti barangan dan perkhidmatan serta produktiviti pekerja.

Namun, bukannya mudah untuk mengajak seluruh negara di dunia menggunakan mata wang emas terutamanya kuasa-kuasa besar ekonomi dunia yang akan sentiasa mempertahankan status quo mereka. Penggunaan mata wang emas akan menyebabkan mereka tidak mempunyai kelebihan tersendiri seperti kuasa beli mereka yang tinggi berbanding negara-negara lain.

Meskipun begitu, diharapkan skandal terbaru melibatkan syarikat pencetak mata wang di Australia menjadi iktibar kepada mereka dan negara-negara lain mengenai kepentingan penggunaan emas sebagai mata wang utama dunia. Hanya dengan cara ini ekonomi dunia akan lebih baik, stabil dan selamat berbanding rejim mata wang kertas yang digunakan pada masa sekarang.


Wednesday, October 27, 2010

Emas sebagai Pelaburan jangka panjang.

KENAPA EMAS ?

1. Harga yang stabil
2. Penentu nilai matawang sesuatu negara
3. Kalis inflasi
4. Portfolio pelaburan alternatif
5. Nilai emas tidak dipengaruhi oleh faktor ekonomi, politik, dan bencana alam

APA KATA PAKAR KEWANGAN MENGENAI EMAS?

"Harga minyak yang tinggi don nilai dolarAS yang lemah menjadi punca peningkatan harga emas," Gary Yue, Delta Asia Financial Group. (Berita Harian — 11 Januari 2008)

Minat atau trend membeli emas khususnya oleh pelabur-pelabur global dijangka terus meningkat pada tahun ini ekoran fungsi komoditi tersebut sebagai penyimpan nilai yang kalis inflasi dan berdaya tahan terhadap ketidaktentuan ekonomi global yang sedang melanda dunia ketika ini. (Utusan Malaysia — 11 Januari 2008)

Pakar Kewangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera ketika ditemui baru-baru ini pula berkata, emas merupakan penyimpan nilai kukuh sejakzaman kegemilangan pemerintahan Islam dahulu lagi.

"Kekukuhan nilai emas memang tiada bandingannya. Misalnya, harga 1 dinar emas yang bernilai kira-kira RM50 pada era 1960an dapat membeli seekor kambing pada masa itu; sekarang ini 1 dinar emas telah bernilai kira-kira RM397 don juga dapat membeli seekor kambing. "Berdasarkan contoh ini, ternyata nilai emas adalah kukuh berbanding wang kertas yang meningkat ekoran kenaikan kadar inflasi;' tambahnya (Berita Harian — 11 Januari 2008)

Penganalisis Majlis Emas Sedunia (WGC) yang berpangkalan di Switzerland, Rhona O'Connell berkata, emas merupakan pelaburan paling selamat dalam ketidaktentuan ekonomi global sama ada akibat tekanan kewangan atau peperangan dan berfungsi sebagai pelindung nilai daripada tekanan inflasi." Kebimbangan yang berterusan mengenai peningkatan kadar inflasi dan ketegangan politik serta jangkaan kelemahan nilai dolor AS, harga emas dijangka terus melonjak pada tahun 2008," kata O'Connell menerusi laporan penyelidikannya, baru-baru ini. (Utusan Malaysia, 11 Januari 2008)


Tuesday, October 26, 2010

Kembalikan kilauan dinar emas!

Oleh NOORZIHAN MOHAMED YIN

Amerika Syarikat (AS) yang menjadi tonggak kepada ekonomi kapitalis kini berada pada tahap terburuk dan lembap. Kelembapan itu turut menjangkiti negara-negara lain di dunia. Tiga per empat daripada dolarnya berada di luar negara dengan nilai yang terus menyusut.

Kegemilangannya dilihat terus merudum. Tidak seperti detik bersejarah Perjanjian Bretton Woods pada tahun 1944 yang telah menipu dan memperdaya 44 buah negara supaya bersetuju menyandarkan mata wang kertas negara mereka kepada dolar AS. Tipu daya itu berlangsung menerusi jaminan adikuasa itu bahawa dolarnya adalah bersandarkan kepada emas iaitu sebanyak US$35 bagi setiap auns.

Penipuan terbesar adalah semasa pemerintahan Presiden Nixon yang mana pada tanggal 15 Ogos 1971 secara unileteral telah memungkiri perjanjian Bretton Woods dengan tidak lagi menyandarkan dolarnya kepada emas akibat kemelesetan ekonomi yang disebabkan oleh keperluan pembiayaan Perang Vietnam serta defisit imbangan pembayaran yang berterusan.

Semenjak runtuhnya Perjanjian Bretton Woods, sistem kewangan dunia telah digantikan dengan sistem mata wang apungan di mana nilai mata wang sesebuah negara, dinilaikan pada mata wang negara lain. Kaedah ini mengakibatkan ketidaktentuan turun naik nilai mata wang sekaligus memberi peluang kepada spekulator mata wang mengaut keuntungan atas kerugian negara lain. Richard Duncan, dalam bukunya “The Dollar Crisis,” meramalkan kemungkinan satu krisis ekonomi yang mungkin lebih buruk daripada ‘Great Depression’ seandainya sistem kewangan sekarang diteruskan.

Melihat kepada kekurangan yang ada pada sistem mata wang apungan ini, ramai pakar ekonomi berpendapat bahawa penggunaan dinar emas adalah sangat disyorkan agar digunapakai kembali sebagai alat menyimpan nilai dan perantara pertukaran terutama dalam perdagangan antarabangsa. Langkah ini disyorkan kerana dinar emas terkenal dengan sifat stabil terhadap aktiviti spekulasi dan manipulasi.

Dari segi tabungan, emas lebih stabil berbanding wang kertas kerana nilainya tidak mengalami turun naik yang ekstrem dan tidak merosot akibat inflasi. Dari segi zakat, hukum Islam menetapkan bahawa zakat hanya boleh dibayar dalam bentuk barangan nyata. Dinar emas sangat sesuai berbanding wang kertas kerana wang kertas hanya laku atas jaminan kerajaan yang mengeluarkannya. Sedangkan emas tidak memerlukan mana-mana pihak untuk mengesahkan nilainya kerana ia dengan sendirinya mempunyai nilai.

Umar Ibrahim Vadillo merupakan individu yang melihat penggunaan dinar emas sebagai jalan penyelesaian kepada krisis ekonomi dunia. Beliau telah berusaha keras untuk mencipta iklim ekonomi yang bersandarkan dinar emas yang sepatutnya menjadi mata wang umat Islam. Malah, beliau juga yang telah melobi Tun Mahathir selepas negara di landa krisis mata wang pada tahun 1997 untuk bertukar kepada penggunaan dinar emas. Hujahnya, mata wang dinar emas bukan sahaja mampu dijadikan sebagai kaedah utama pembayaran berikutan terdapat lebih daripada satu bilion umat Islam di dunia ini malah kedudukan ekonomi sesebuah negara akan lebih terjamin kerana dinar emas merupakan komoditi yang mempunyai harga yang stabil.

Pada tanggal 18 Ogos 1991, beliau dengan lantang telah mengeluarkan fatwa bahawa wang kertas adalah haram. Fatwa berkenaan merumuskan bahawa wang kertas adalah satu bentuk hutang (janji yang dibayar oleh pihak yang mengeluarkannya) dan oleh itu tidak boleh digunakan sebagai alat pembayaran. Ini bertepatan dengan takrifan daripada Imam Malik r.a. yang mentakrifkan wang sebagai “sebarang komodititi yang diterima umum digunakan sebagai alat pertukaran”. Oleh yang demikian, manusia mempunyai kebebasan untuk memilih sebarang komoditi yang bernilai sebagai mata wang dan bukan mata wang yang dipaksa nilai ke atasnya.

Menyelusuri sejarah, dinar emas telah menjadi piawai bagi mata wang dunia, selama beribu-ribu tahun, sehinggalah ia diganti kepada wang kertas dolar hanya pada awal tahun 1970-an.

Dinar berasal dari perkataan bahasa Latin Denarius iaitu matawang yang digunakan oleh Kerajaan Rom yang diperbuat dari logam perak. Ianya digunakan pada tahun 211 sebelum masihi di mana 1 denarius perak beratnya kira - kira 4.5 gram.

Dari perkataan Denarius ini, wujudlah pelbagai matawang yang lain seperti Denier (mata wang perak Perancis), Denaro (mata wang perak Itali), Dinar (mata wang emas Islam), Dinero (mata wang perak Sepanyol) dan Dinheiro (mata wang perak Portugis).

Pada penghujung zaman Republik Roman, mata wang Denarius dari logam emas mula digunakan dengan dikenali sebagai Denarius Aureus yang bermaksud Denarius Emas. Semenjak dari itu, perkembangan mata wang emas telah berubah mengikut peredaran zaman di mana semasa pemerintahan Constantine The Great (306 – 377 Tahun Masihi) mata wang emas lama telah ditukar dengan mata wang yang lebih ringan yang dikenali sebagai Solidus yang beratnya 4.5 gram.

Mata wang emas Solidus ini telah digunakan sehingga berakhirnya zaman Empayar Byzantium dan telah tersebar penggunaannya ke seluruh Semenanjung Tanah Arab sehinggalah ke zaman awal Islam. Dari zaman bermula berkembangnya agama Islam, penggunaan mata wang dinar emas dan dirham perak dari Parsi telah digunakan menjadi mata wang bagi setiap ummah ketika itu dalam urusan jual beli.

Hanya pada zaman pemerintahan Khalifah yang ke-3 iaitu Khalifah Saiyidina Ummar al-Khattab (13 – 23 hijrah / 633 – 644 masihi), penggunaan mata wang dinar dan dirham mula dikawal dari segi corak dan berat. Di bawah pemerintahan Khalifah Ummar, corak mata wang Islam telah diukir dengan nama Allah s.w.t. dan sebahagian dari ayat-ayat suci al-Quran. Berat mata wang Islam ini juga telah ditetapkan iaitu mata wang dinar mestilah mengandungi emas seberat 1 mithqal (iaitu seberat 4.25 gram ukuran pada masa kini). Manakala bagi mata wang dirham pula, beratnya adalah sebanyak 2.975 gram perak (ukuran pada masa kini) di mana jika nilai tukarannya dengan dinar ialah 7 dinar emas bersamaan dengan 10 dirham perak.

Kepentingan dinar emas jelas dicatat dalam buku Ibn Khaldun yang bertajuk “al-Muqaddimah.” Di dalam buku tersebut, mencatatkan akan wahyu Allah s.w.t. memasukkan dinar serta dirham dan ini telah membawa bersamanya banyak kaitan dalam hukum seperti zakat, perkahwinan dan hudud. Sebab itu di dalam wahyu Allah s.w.t. dengan jelas telah menyatakan akan ukuran yang tetap mengenai zakat dan sebagainya dengan menggunakan dinar dan dirham tidak dengan yang lain.

Islam mementingkan keredaan Allah s.w.t. dalam setiap pelakuan dan pekerjaan yang dilakukan kerana keredaan Allah s.w.t. akan memberikan kesejahteraan kepada kehidupan dunia dan akhirat. Idea mengembalikan dinar emas bukan suatu perkara kecil kerana ia secara langsung atau tidak, turut melibatkan soal sistem sosial, ekonomi, politik, dan, keberkatan dari-Nya.

Malah, kelemahan umat Islam sedunia mula ketara apabila berakhirnya penggunaan dinar emas. Menurut sejarah, pemerintahan Islam di bawah Khalifah Uthmaniyah di Istanbul, Turki telah dihelah dengan kemajuan dan pembangunan. Pinjaman wang kertas daripada Eropah untuk membangunkan Turki telah menjadikan negara tersebut berhutang dan melalui sistem wang kertas bersama riba telah melemahkan pemerintahan Khalifah.

Riba sangat dibenci Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. Ini diterangkan dalam al-Quran yang bermaksud: “Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangi kamu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu, kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya,” (al Baqarah:279).

Memang tidak dapat dinafikan, sistem wang dunia berasaskan wang kertas dan berlandaskan riba ini telah telah membawa kepada banyak kerosakan seperti kemiskinan, kerosakan alam sekitar, monopoli pengeluaran dan pengedaran. Sistem ini juga menimbulkan berbagai masalah seperti pengangguran, jenayah, maksiat dan kejatuhan moral. Sistem ini yang dikendalikan oleh institusi perbankan, sistem demokrasi dan ahli politik yang tidak bertanggungjawab telah memberi sumbangan kepada kesengsaraan masyarakat dunia.

Ibnu Abbas r.a. dari Ishaq Ibn Basheer dan Ibn Asakir di Kanz al-Ummal mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud: “Orang yang pertama mengikuti Dajjal adalah 70,000 orang Yahudi...dan antara tanda pelepasan Dajjal adalah amalan riba.”

Kini, dinar emas telah kembali dan ramai umat Islam dan bukan Islam dari seluruh dunia menyeru supaya dinar emas ini dikembalikan. Ditengah-tengah kekalutan ekonomi yang melanda kini, kilauan dinar emas dilihat dapat mengembalikan sistem kewangan yang lebih munasabah dan mantap. Ramai yang telah sedar akan tipu helah sistem kewangan yang ada dan masyarakat dunia sudah mula meminta supaya mengembalikan kebebasan untuk memilih. Sekiranya demokrasi dilaungkan di seluruh dunia supaya diamalkan dalam semua perkara, mengapa tidak kebebasan diberikan untuk memilih dinar sebagai wang?


Monday, October 25, 2010

Dinar Emas - Senjata terkuat umat islam.

Firman Allah surah Yusuf ayat ke-20:

"Dan (setelah berlaku perundingan) mereka menjualnya dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham sahaja bilangannya; dan mereka adalah orang-orang yang tidak menghargainya."

Kini penggunaan dinar emas dan dirham perak sudah lagi tidak kelihatan dalam pengurusan perniagaan di dunia pada masakini. Masyarakat dunia terutama umat Islam telah dididik supaya melakukan kesemua urusan muamalah dengan menggunakan wang yang diperbuat daripada kertas, kononnya setiap wang kertas tersebutbersamaan dengna beberapa nilai kadar emas dan perak. Apabila ianya kertas, sudah tentu ianya tidak bernilai dan boleh dijadikan unsur riba'.
Muamalat Council, En. Hj. Awaluddin memberikan lagi satu contoh,

Seorang pemilik emas yang banyak telah dirompak. Tetapi pemilik emas tersebut tidak membawa emas tersebut bersamayna pada ketika itu, lalu pemilik emas tersebut mengeluarkan resit kepada perompak tersebut yang mempunyai copnya yang menyamai nilai satu gram emas yang dimiliki pemilik emas tersebut.

Perompak itupun berrasa gembira kerana memiliki resit tersebut. Apabila pemilik emas tersebut menyedari nilai resitnya, maka beliau mencetak resit tersebut dengan banyak hinggakan resitnya dijadikan barang tukaran berharga dalam urusan jual beli. Pemilik emas tersebutlah yang paling berkuasa pada ketika itu kerana beliau mampu mengawal naik turun nilai resit tersebut.

Resit yang dimaksudkan ialah Dollar dan segala jenis mata wang KERTAS yang digunakan pada masa kini.

Cuba anda pergi ke bank dan meminta bank tersebut menukarkan duit-duit simpanan anda dengan nilai kadaran emas yang bersamaan dengan nilai wang simpanan anda. Pasti bank-bank tersebut akan mengatakan bahawa mereka tidak memilik satu gram emas sekalipun. Ini bermakna kita semua sedang menyimpan resit pemilik emas tersebut tanpa memiliki emas yang sebenar. Pendek kata, ktia semua ditipu bulat-bulat oleh Dollar Amerika, kerana emas-emas yang sebenar disimpan oleh mereka.

Ini bermakna jelas, walau Dollar Amerika merudum jatuh sekali manapun, Amerika tetap tidak akan rugi walau sesen, keran kesemua emas-emas tersebut berada dalam tangan mereka. Begitu juga walau ktia memboikot barang keluaran Israel dan Amerika, mereka juga tetap tidak akan rugi kerana kita masih menggunakan resit(Ringgit) yang dicop oleh mereka.

Beliau juga berpesan kepada semua rakyat Malaysia khususnya, kembalilah kepada ajaran Islam, dan tinggalkanlah urusan perniagaan wang kerta riba' ini, kerana Amerika telah berjaya mendidik umat dunia supaya meniggalkan emas dan perak dan bergantung pada resit yang dicop oleh nilai mereka.

Beliau dibantuk oleh rakannya, Dr. Musa, wakil dari Muamalat Reseacrh Group, IIUM dalam meneruskan perjuangan meynebarkan dakwah penggunaan dinar emas ini kepada masyarakat, khsusnya umat Islam yang kini dihimpit dengan riba disebabkan penggunaan wang kertas.

Beliau menceritakan tentang kegunaan-kegunaan dinar dan dirham ini. Kebiasaannya dirham digunakan di pasar-pasar untuk membeli sebagai contoh keperluan harian seperti sayur-sayuran dan sebagainya. Manakala Dinar pula digunakan untuk dalam urusan hartanah, rumah, mas kahwin dan kereta.

Ali-Imran, 14:

"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)."

Saturday, October 16, 2010

Beli emas untuk pelaburan

BERBICARA mengenai barang kemas, kaum wanita merupakan golongan yang paling gemar membelinya walaupun harga emas semakin meningkat. Tidak dinafikan barang kemas seolah-olah telah menjadi menjadi keperluan kepada kaum Hawa dan juga secara tidak langsung melambangkan kemewahan dan status seseorang.

Bukan setakat masyarakat Melayu yang menggemari barang kemas emas malah ia menjadi hadiah utama pada majlis perkahwinan kaum Cina dan India.

Walaupun pada masa kini ‘kegilaan’ wanita telah beralih pada barangan perhiasan diri seperti kristal dan batu-batu permata, namun masih ramai yang mempercayai keistimewaan emas pada pemakainya.

Menurut Pengurus Operasi Runcit Habib Jewels Sdn. Bhd., Mohd. Zaruddin Mahmud, kenaikan harga emas yang mencecah RM101 bagi satu gram (harga Sabtu lepas) tidak menjejaskan jualan malah jumlah pelanggan yang datang sama seperti semasa harga emas masih murah.

Katanya lagi, harga emas kini merupakan harga yang paling tinggi bagi tempoh 20 tahun dan ia dijangka naik lagi.

‘‘Harga emas akan sentiasa naik walaupun ada ketikanya ia akan turun sedikit tetapi selepas itu akan naik tinggi lagi lebih-lebih lagi menjelang Tahun Baru Cina kerana ramai orang membeli emas,’’ kata Mohd. Zaruddin.
Beliau menambah, kenaikan harga emas berlaku kerana bekalan yang tidak mencukupi, permintaan berlebihan dan juga ketidaktentuan pasaran. 

“Ramai yang berasa lebih selamat melabur dalam emas berbanding kewangan kerana harga emas yang sentiasa naik.

‘‘Emas merupakan sejenis logam yang amat sesuai untuk pelaburan dan bagi yang mempunyai wang khususnya wanita adalah lebih baik jika membeli emas pada masa ini dan jangan risau harganya akan turun.
‘‘Sebenarnya kegemaran wanita membeli emas apabila mempunyai wang seperti selepas mendapat bonus, dividen saham dan sebagainya bukan sahaja menguntungkan mereka malah keluarga juga.
‘‘Itu merupakan kelebihan wanita kerana selain membeli emas sebagai perhiasan diri, pada masa sama mereka turut membuat pelaburan dan dapat digunakan semasa susah seperti ketika anak bersekolah atau melanjutkan pelajaran ke universiti,’’ jelas Mohd. Zaruddin lagi.

Beliau menambah, orang Melayu merupakan golongan yang banyak membeli emas untuk dipakai sendiri, sementara kaum Cina lebih suka membeli dalam bentuk jongkong emas untuk pelaburan.

‘‘Orang Melayu sudah mula memahami dan menyedari mengenai kelebihan dalam pelaburan emas sejak dua atau tiga tahun lepas. Bagi yang hendak membeli dalam bentuk jongkong emas, beli daripada jauhari yang bertauliah bagi mengelakkan daripada ditipu.

‘‘Terdapat jongkong emas dengan berat 10 gram, 50 gram, 100 gram dan 500 gram. Jongkong yang terlalu tebal mungkin mengandungi kurang kandungan emas 916. 

‘‘Jongkong emas yang popular adalah emas 916 dan 999 dan cuma harga emas sahaja yang dikira tanpa upah. Keuntungan boleh dilihat apabila jongkong dijual ketika harga emas naik,’’ katanya. 

Wanita jelasnya, harus mempunyai pengetahuan untuk mengambil peluang pada harga emas kini bagi membeli emas kerana belian emas yang dibuat pada tahun ini adalah menguntungkan. 

‘‘Begitu juga dengan lelaki Melayu, jika dua, tiga tahun dulu mereka suka berbelanja mewah dengan membeli kereta besar, menambah aksesori kereta atau membeli set barangan elektrik yang mahal tetapi kini sudah mula pandai membeli emas,’’ ujarnya.

Beliau berkata, pembelian emas yang dilakukan dalam negeri dapat membantu pembangunan kerana aliran wang berlaku dalam negara kita sahaja.

Rakyat Malaysia mempunyai banyak emas yang tersimpan dan sebenarnya tidak perlu kita membeli emas dari negara luar seperti Eropah, Afrika Selatan, Indonesia dan sebagainya.


Thursday, November 19, 2009

Emas sebagai alternatif pelaburan

 Emas sebagai alternatif pelaburan

MINGGU ini saya bercerita sedikit tentang emas sebagai pelaburan. Sebenarnya emas sudah menjadi bahan pelaburan sejak harganya mula-mula diselaraskan pada tahun 1717 oleh Sir Isaac Newton.

Pada tahun 1971, emas tidak lagi terikat dengan Dolar Amerika dan diperdagangkan secara bebas. Pada 6 Oktober 2009 baru-baru ini, harga emas di pasaran emas dunia melonjak sebanyak AS$24.60 kepada AS$1,041.80 seauns sehari.

Enam bulan dulu harga terendah emas ialah AS$868.70 dan setahun dulu harganya ialah AS$709.50 seauns. Dalam masa setahun harga emas naik sebanyak 46.8 peratus. Lima tahun dulu harga terendahnya ialah AS$412.10 iaitu kenaikan sebanyak 152.8 peratus.

Secara purata seseorang yang melabur jangka panjang mendapat pulangan purata dalam masa lima tahun sebanyak 30.5 peratus. Rasanya pelaburan di pasaran saham sendiri tidak boleh memperolehi keuntungan sebanyak itu.

Tidak ramai yang sedar akan pulangan yang lumayan daripada pelaburan emas. Cara yang baik untuk melabur emas ialah dengan membeli syiling emas atau emas keping selain barang kemas.

Untuk makluman, suatu auns bersamaan dengan 31.10 gram. Bagaimana pun harga jualan emas di institusi kewangan berbeza-beza kerana harga emas bukannya sesuatu yang terkawal.

Banyak kos perkhidmatan seperti insurans diambil kira oleh institusi-institusi ini. Syiling dan emas keping ini boleh diperolehi di bank-bank seperti Maybank dan OUB.

Ada juga yang menggunakan buku pas seperti Public Bank tetapi pelanggan tidak menyimpan dan melihat emas sebenarnya hanya jumlah dan harga semasa pembelian dimasukkan ke dalam buku pas.

Kini ada pembelian dan penjualan boleh juga dilakukan dengan Koperasi Etika Emas yang mempunyai cawangan di seluruh negara.

Kenaikan harga emas tertakluk lazimnya atas tiga faktor utama. Pertama penyusutan nilai dolar Amerika. Apabila nilai dolar Amerika susut harga emas akan naik, apabila dolar Amerika stabil harga emas akan susut.
Emas bertindak sebagai pelindung nilai menentang dolar Amerika. Pada masa ini dolar Amerika lemah dan menunjukkan tanda-tanda akan menjadi lebih lemah.

Ada juga ura-ura negara Asia Barat dan China akan menggunakan mata wang lain selain dolar Amerika disebabkan kelemahan dolar Amerika ini. Walaupun peralihan kepada mata wang selain dolar Amerika (euro misalnya atau mata wang bentuk baru) bukan sesuatu yang boleh berlaku dengan segera, berita itu telah cukup untuk melonjakkan harga emas dunia.

Faktor kedua ialah harga emas akan naik selari dengan kadar inflasi. Apabila inflasi naik, harga emas akan naik selaras dengan inflasi.

Dalam keadaan negara-negara di dunia termasuk kuasa-kuasa ekonomi besar menyuntik pakej rangsangan ekonomi dengan besar seperti AS$787 bilion pakej rangsangan Amerika Syarikat kesannya ialah peningkatan inflasi.

Amerika hanya mengecap duitnya sesuka hati dan ini akan menyebabkan nilai duitnya akan turun.
Faktor ketiga ialah kenaikan harga petroleum akan menyebabkan harga emas naik selari dengan kenaikan kos penghasilan dan penghantaran barangan, jika harga petroleum jatuh. dijangka emas juga akan turun tetapi pada tahap minimum.

Terdapat beberapa cara untuk melabur dalam bentuk emas dan diterangkan secara lengkap di dalam www.gold.org/value. Orang ramai boleh melabur secara langsung dengan membeli emas bulion (jongkong), syiling emas, dinar emas, atau secara tidak langsung melalui gold futures, options, waran atau sijil pelaburan.
Salah satu cara paling popular dan cepat berkembang dalam sekuriti bursa di seluruh dunia yang dikenali dengan nama Gold ETF (Exchange Traded Fund).

Antara bursa saham dunia yang menawarkan Gold ETF ialah di Australia, Amerika Syarikat, Perancis, Hong Kong, Jepun, Mexico, Afrika Selatan, Switzerland, Singapura, Turki dan United Kingdom. ETF ini dalam bentuk sekuriti dan disokong 100 peratus oleh emas secara fizikal.

Pelaburan secara ini berkembang dengan pesat sehingga 38 peratus daripada pelaburan yang dikenal pasti terdiri daripada sekuriti bentuk ini. Di sini belum ada lagi Gold Emas ini diperdagangkan di bursa kita.

Melihat pergolakan yang berlaku sekarang terutama sekali tergugatnya kedudukan Dolar Amerika ekoran krisis ekonomi yang berpunca di Amerika, daripada mereka dan merebak ke seluruh dunia. Orang ramai sudah tentu mencari sesuatu bentuk pelaburan yang lebih selamat daripada pergolakan harga.

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

Wednesday, November 18, 2009

Elok melabur dalam bentuk emas

Elok melabur dalam bentuk emas

MINGGU lepas saya dijemput oleh TV3 menerangkan tentang emas sebagai pelaburan alternatif dalam program Bijak Wang. Minat dengan pelaburan emas memang sedang meningkat. Melalui program tersebut pun ada beberapa penonton yang menelefon bertanyakan beberapa perkara tentang emas.

Saya diminta menerangkan mengapa wajar melabur dengan emas. Emas sebenarnya ialah suatu komoditi yang tidak luntur ditelan zaman. Walau tertanam beribu-ribu tahun sekalipun, emas tetap berkilau.

Tidak ada negara yang mata wangnya tidak tertakluk kepada turun naik nilai emas, termasuklah negara kita semasa krisis 97/98 yang mana mata wang kita dikatakan menjadi bahan spekulator dan pernah jatuh ke paras serendah RM4.50 untuk satu dolar Amerika.

Mata wang dunia tidak lagi disokong oleh emas dan negara seperti Amerika Syarikat didapati boleh mengeluarkan seberapa banyak wang sesuka hati mereka.

Sekian lama mata wang dolar Amerika digunakan untuk segala-galanya daripada rizab negara kepada dagangan dunia.

Boleh dikatakan tidak ada urusan yang tidak lepas daripada dolar Amerika sehinggalah Kesatuan Eropah menghasilkan Euro yang menjadi pencabar kepada kedudukan dolar Amerika.

Apabila berlaku krisis ekonomi pada tahun 2008 yang berpunca di Amerika, dolar terus tertekan kedudukannya selaku mata wang utama. Tambahan pula negara seperti China yang banyak membeli Bil Perbendaharaan Amerika Syarikat merasa bimbang mengenai penurunan nilai dolar dan menyarankan penggunaan mata wang alternatif untuk perdagangan.

Pada waktu sama China juga mengajak negara-negara Asia Barat mengubah haluan menggunakan mata wang lain selain dolar Amerika.

Suasana begini dicampur dengan defisit kerajaan Amerika yang berjumlah trilion dolar menyebabkan ramai orang membeli emas selaku pelindung atau insuran.

Mereka yang mengambil langkah perlindungan ini bukan saja orang individu tetapi juga negara. Selasa minggu lepas, Bank Negara India telah membeli 200 tan emas dari Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan ia telah melonjakkan harga emas pada hari itu. Dikhabarkan IMF akan menjual sebanyak 200 tan lagi. Kenaikan permintaan ini menyebabkan harga emas terus meningkat.

Minggu lepas sehingga semalam (Jumaat) emas naik dari AS$1091 (RM3,815) seauns kepada AS$1106 (RM3,871).

Bagaimanapun mereka yang ingin membeli emas patut melihat pembeliannya untuk disimpan selama 365 hari. Bukan untuk dijual minggu depan atau bulan depan kerana dengan mengambil sikap demikian segala turun naik harga (volatiliti) dapat diatasi.

Misalnya sejak setahun lalu, harga emas naik sebanyak 52 peratus dari AS$734.90 (RM2,572) seauns kepada AS$1116.80 (RM3,908) seauns.

Kalau emas tidak penting mengapa kerajaan India membeli 200 tan emas minggu lepas?

Kebimbangan akan kejatuhan nilai matawang dolar Amerika dan kemungkinan pemulihan mungkin akan mengambil masa lebih lama daripada dijangkakan kerana pengangguran di AS hampir mencecah 10 peratus dan masalah yang membelenggu sektor perumahan belum dapat diatasi lagi.

Kerajaan China juga menasihatkan rakyatnya menyimpan 5 peratus daripada wang simpanan mereka dalam bentuk emas dan ini bakal menaikkan lagi harga emas.

Kita ingat semasa zaman ramai pelarian meninggalkan negara asal mereka seperti semasa perang Vietnam. Mereka yang lari daripada Kemboja membawa bersama emas dan apabila sampai di sini mereka menggunakan emas tersebut untuk memulakan perniagaan dan hidup baru.

Contohnya di kawasan Kota Tinggi, Johor. Ramai orang Kemboja yang memiliki perniagaan seperti barang kemas dan perniagaan kain. Emas diterima di mana-mana tidak kira di negara mana sekalipun, emas tetap emas.

Seperti yang pernah dinyatakan dahulu, emas boleh dibeli secara buku pas dan secara syiling atau keping (wafer) dari bank-bank perdagangan. Selain itu, barang kemas juga suatu pelaburan dalam "bentuk emas" walaupun ketulenan emas pada barang kemas adalah rendah daripada emas keping iaitu 91.6 peratus bagi barang kemas dan 99.99 bagi syiling dan emas keping.

Bagi Bursa Malaysia pula, mungkin Dana Dagangan Bursa Emas (Gold Exchange Traded Fund) mungkin boleh difikirkan selaku salah suatu tawaran di bursa kita.

Dengan adanya ETF Emas ini dapatlah lebih ramai pelabur melabur dalam emas dengan modal yang lebih rendah.

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

Tuesday, November 3, 2009

Panduan menggunakan kad kredit


Jangan bawa baki bulan ini ke bulan hadapan.

Peraturan pertama yang mesti anda patuhi ialah jangan membawa baki bayaran bulan ini ke bulan berikutnya. Mempunyai baki bayaran lebih daripada sepatutnya. Sesungguhnya, kegagalan  mematuhi  peraturan ini hanya akan menambahkan beban hutang.

Jadi tanyakan diri anda. Adakah anda seorang yang lazimnya mempunyai baki bulanan atau secara keseluruhan jumlah hutang? jika anda bernasib baik, anda tergolong di dalam kategori kedua dan tidak terperangkap di dalam pembayaran faedah.

Tetapi berlainan pula dengan mereka yang mempunyai baki hutang. Mereka sebenarnya terperangkap di dalam hutang yang semakin meningkat akibat kegagalan  membayar.

Baca semua yang terkandung di dalam lampiran atau borang permohonan.

Pastikan anda membaca dan meneliti semua yang terkandung di dalam lampiran atau borang permohonan. Ini penting untuk anda melindungi diri sebagai pengguna. Pastikan anda mendapat penjelasan  sewajarnya kepada setiap kemusykilan yang diutarakan. Juga pastikan anda membaca dan meneliti semua bil yang sampai ke tangan anda.

Ini penting kerana anda pastinya tidak mahu terlepas daripada mengetahui sebarang perubahan polisi yang dikenakan ke atas kad kredit anda. Harus diingat, syarikat pengeluar kad kredit mempunyai kebebasan membuat sebarang pindaan dan lazimnya setiap perubahan akan efektif di dalam tempoh waktu yang singkat.

Elakkan denda bayaran lewat.

Pastikan anda membayar hutang di dalam tempoh waktu yang ditetapkan. Kelewatan membayar hanya mengakibatkan anda terjerumus ke dalam hutang yang lebih banyak disebabkan jumlah yang meningkat setiap kali anda gagal melunaskannya.

Pertahankan hak anda sebagai pengguna.

Jika anda mendapati syarikat pengeluar kad kredit gagal berfungsi dengan cekap, maka anda perlu segera membuat aduan. Di dalam persaingan pasaran yang sengit mereka tidak boleh memandang ringan segala aduan yang diterima dan lazimnya, anda akan mendapat layanan sewajarnya.

Jangan tergesa – gesa membuat pilihan

Dewasa ini, amat banyak kad kredit yang ditawarkan di pasaran. Sebagai pengguna bijak, luangkan masa anda mencari kad yang menawarkan pilihan terbaik seperti tiada bayaran tahunan  dan kadar faedah yang rendah. Tidak ada gunanya untuk anda terus menggunakan kad kredit yang mengenakan faedah tinggi dan dan mempunyai masa selamat yang singkat. Untuk mengetahui cara memilih kad kredit, sila rujuk siri terdahulu.

Sunday, November 1, 2009

Rakyat Malaysia Kurang faham rancang kewangan persaraan

 Rakyat Malaysia Kurang faham rancang kewangan persaraan


Kebanyakan rakyat Malaysia mungkin tidak memahami sepenuhnya kepentingan dan manfaat kewangan peribadi, melabur dengan bijak dan merancang untuk persaraan, demikian menurut satu kaji selidik CitiBank Bhd.

Kaji selidik itu, Citi Financial Quotient (FIN-Q), mendapati berdasarkan kepada keputusan keseluruhan ditunjukkan dalam 11 bidang topik kewangan utama, keputusan dari Malaysia menunjukkan purata skor Citi FIN-Q ialah 49 mata daripada 100. Selebihnya 59 peratus rakyat Malaysia yang dikaji selidik itu mencatatkan skor 49 mata dan ke bawah.

“Kita tidak boleh lagi bergantung kepada bantuan kewangan dari sanak saudara dan anak-anak. Oleh itu, kita perlu membuat perancangan satu portfolio yang pelbagai yang bersesuaian,” kata Naib Presiden Pemasaran dan Ketua Segmen Kumpulan Pelanggan Globalnya, Timothy Johnson kepada pemberita di sini hari ini.

Kaji selidik FIN-Q itu yang terdiri daripada 400 temu ramah dalam talian mempunyai 30 soalan setiap satu di seluruh Malaysia, dilaksanakan untuk menentukan tahap pemahaman di kalangan rakyat Malaysia mengenai kewangan peribadi dan amalan kewangan mereka.

Di dalam bidang kewangan peribadi hanya 28 peratus dari responden mengawal peruntukan bajet mereka, 37 peratus berjimat manakala 46 peratus cuba berjimat dan membuat peruntukan perbelanjaan.

“Di segi tabiat melabur pengurusan wang dan kewangan peribadi, sebanyak 37 peratus mengetahui subjeknya dan 55 peratus mempunyai idea yang baik tentang apa yang akan dilakukan dengan enam bulan pendapatan mereka,” kata Johnson.

Sebaliknya, kira-kira 60 peratus tidak berasa yakin dengan penjimatan untuk persaraan mereka, dengan lebih ramai wanita melahirkan kebimbangan tentangnya.

Hanya 22 peratus dari responden mempunyai rancangan persaraan yang rasmi manakala lebih daripada seperempat tidak ada idea atau tidak memulakan lagi satu rancangan persaraan manakala 45 peratus mempercayai mereka akan menerima bantuan kewangan dari anak-anak mereka.

Sementara sebahagian besar rakyat Malaysia berpandangan mereka mempunyai pengaturan yang positif terhadap kualiti hidup mereka pada masa ini dan kewangan pada masa hadapan, tetapi secara realitinya, ramai yang tidak pasti mengenai keselamatan kewangan mereka.

“Kami melihat satu trend di seluruh dunia terutamanya dalam pasaran yang lebih maju. Masyarakat mula merancang masa depan kewangan mereka. Dan ianya akan menjadi trend di Malaysia,” katanya. – Bernama

Thursday, October 29, 2009

Didik diri menabung


Musim perayaan memang banyak menelan belanja, daripada pembelian makanan seperti kuih-muih, ketupat dan lemang sehinggalah bermacam-macam urusan perbelanjaan untuk menghias rumah.

Itu belum termasuk pakaian anak-anak dan tidak kurang juga memikirkan hasrat mengadakan rumah terbuka. Semuanya memerlukan pemerhatian yang bukan sedikit daripada ibu bapa.

Oleh kerana kos kehidupan semakin meningkat, ramai mengeluh kerana keperluan isi rumah semakin bertambah. Anak-anak yang semakin membesar bermakna ibu bapa perlu menambah belanja untuk rumah tangga.

Memulakan perniagaan secara kecil-kecilan antara langkah bijak. Bagaimanapun, tidak semua orang mahu memulakannya. Mungkin tiada masa, modal bahkan tidak yakin untuk melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Sebagai wanita bergelar ibu dan isteri, ada pelbagai inisiatif boleh dilakukan untuk berjimat cermat. Apatah lagi, wanita, isteri dan ibu adalah insan penting yang lazimnya berperanan mentadbir ekonomi keluarga.

Berikut sedikit petua yang mungkin dapat dimanfaatkan untuk mengawal perbelanjaan serta menambah pendapatan keluarga:

# Tetapkan matlamat

Tulis dalam buku catatan perkara penting dan kurang penting. Contohnya, tidak perlu membeli juadah raya khususnya biskut berlebihan jika ia boleh dihasilkan sendiri.

# Jual atau lelong barang rumah yang tidak diperlukan

Ini sangat baik kerana selain mendatangkan sumber wang, ia boleh mengosongkan rumah yang sesak. Pelbagai laman web menyediakan khidmat lelong atau kunjungi tempat jualan barangan terpakai.

# Belajar menjahit sendiri

Ia bukan saja bermanfaat untuk keluarga malah siapa tahu, ia boleh menambah pendapatan suatu hari nanti. Perkenalkan kemahiran itu kepada rakan, jiran atau saudara-mara terlebih dulu.

Jika mendapat sambutan, lakukan perniagaan secara kecil-kecilan.

# Guna barang kitar semula.

Barangan sedemikian lebih murah harganya. Misalnya, beli pakaian terpakai yang kini lebih popular dengan gelaran 'bundle' jika benar-benar tidak berkemampuan.

# Mulakan menabung dari sekarang

Jika selama ini jarang menabung, mulakan dari sekarang. Mulakan dengan jumlah yang difikirkan mampu sebelum ia ditambah perlahan-lahan dalam jumlah lebih besar.

# Catatkan aliran wang keluar dan masuk

Mungkin agak sukar pada awalnya tetapi dengan mencatatkan perbelanjaan, anda dapat melihat sama ada barang yang dibeli itu benar-benar diperlukan atau sebaliknya.

# Didik anak-anak kepentingan menabung.

Berikan setiap anak tabung dan minta mereka masukkan wang lebihan belanja sekolah ke dalam tabung simpanan masing-masing. Terangkan bagaimana wang tabung itu amat penting jika berlaku sebarang masalah kepada anda sekeluarga.

# Sediakan sarapan dan bekal makanan ke sekolah.

Ini memang menjimatkan. Jika suami tidak keberatan, bekalkan makanan untuknya ke pejabat. Bukan saja perbelanjaan lebih terkawal, malah ia mampu mengeratkan kasih sayang seisi keluarga.

# Kurangkan makan di luar

Makan di luar menuntut perbelanjaan lebih dan ia pasti menjejaskan wang yang sedang dikumpul untuk masa depan keluarga. Sesekali makan di luar mungkin tiada salahnya tetapi usah jadikan ia amalan berterusan.

Wednesday, October 28, 2009

Usah banding bajet orang lain


ASPEK kewangan menjadi teraju penting dalam sesebuah rumah tangga, namun jika tidak bijak menguruskannya, wang sering menjadi punca masalah antara pasangan sehingga boleh mencetuskan konflik dalam rumah tangga, menurut perunding motivasi kewangan, Shamsudin Kadir.

Ia turut menjadi masalah utama dalam sesebuah rumah tangga apabila pertelingkahan berlaku berikutan pasangan mudah terpengaruh dengan sesuatu perkara tanpa melihat keupayaan kewangan yang ada.

Menurutnya, apabila melihat jiran menghantar anak ke sekolah swasta yang hebat atau mengikuti kursus di luar kemampuan diri, ia boleh membibitkan kekeruhan antara pasangan jika terlalu terikut-ikut tanpa mengukur baju di badan sendiri.

"Apabila pasangan ingin merancang bajet keluarga, perkara pertama adalah prinsip hidup selain menentukan matlamat yang ingin dicapai.

"Dua keluarga mendapat gaji yang sama dan bilangan anak yang sama mempunyai prinsip berbeza. Untuk itu, perbelanjaan mereka bukan saja berbeza dan ada kemungkinan, ada keluarga berbelanja di luar kemampuan mereka. Sebaiknya, tuliskan matlamat itu di atas sekeping kertas.

"Contohnya, jika anda memiliki dua anak yang berusia kurang daripada tujuh tahun, tentukan sistem pembelajaran peringkat tadikanya.

"Ada ibu bapa membelanjakan RM350 sebulan bagi setiap anak untuk kelas tadika. Ada ibu bapa lain bergaji sama membelanjakan hanya RM150 sebulan untuk kelas tadika anak mereka biarpun kedua-dua keluarga itu menerima gaji yang sama iaitu RM5,000 sebulan.

"Matlamat hidup yang ditetapkan berdasarkan pengalaman ibu bapa sama ada dari segi pemerhatian semasa ataupun melalui pembacaan mengenai cara mendidik anak. Tidak perlu risau apabila anda menyediakan perbelanjaan lebih besar bagi pendidikan anak berbanding keluarga lain yang mendapat gaji sama. Ini berlaku kerana prinsip dan matlamat yang ingin dicapai adalah berbeza," katanya.

Pemilik Ultra Mind Resources beroperasi di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur ini mencadangkan supaya prinsip serta keperluan untuk diri sendiri, pasangan dan anak ditentukan terlebih dulu ketika membuat bajet perbelanjaan.

Contohnya, apabila memikirkan keperluan masa depan anak, ada keperluan dalam menyediakan tabung pendidikan mereka. Tabung ini boleh dihasilkan melalui simpanan dalam insurans, skim simpanan pendidikan atau pembelian rumah bagi setiap anak.

Gaji bulanan yang diterima biasanya tetap, hanya setahun sekali berlaku perubahan ketika mendapat kenaikan gaji.

Oleh itu, pasangan suami isteri perlu berbelanja mengikut keperluan dan had kemampuan mereka berdasarkan gaji serta jumlah perbelanjaan.

Contohnya, jika gaji bersih yang diterima adalah RM3,000, jumlah maksimum yang boleh dibelanjakan adalah RM2,100 saja. Ertinya, RM300 pertama iaitu 10 peratus adalah untuk pelaburan diri sendiri manakala RM600 iaitu 20 peratus daripada gaji bersih adalah untuk tabung kecemasan.

Hanya baki RM2,100 boleh dibelanjakan tetapi jika dibelanjakan tanpa ada sistem, ia membuatkan pasangan berbelanja lebih daripada sepatutnya. Akibatnya, pasangan menanggung hutang baru dan kadar tekanan perasaan juga meningkat mendadak.

Berikut adalah contoh untuk belanja isi rumah:

Jumlah baki gaji yang boleh dibelanjakan adalah RM 2,100.

Senarai Perbelanjaan RM

Duit poket ibu bapa 100

Duit poket suami isteri 200

Duit poket anak (dua anak) 100

Barangan dapur (kering dan basah) 400

Barangan keperluan anak kecil (susu, lampin pakai buang dan ubat) 150

Yuran tadika (seorang anak di bawah tujuh tahun) 150

Ansuran Rumah 500

Ansuran Kereta 250

Bil elektrik 50

Bil air 15

Bil telefon (talian rumah dan bimbit) 60

Bil saluran televisyen berbayar (jika ada)

Petrol, tol dan caj letak kereta 160

Barangan bilik mandi (syampu, sabun, ubat dan berus gigi) 30

Makan di luar (bersama keluarga di hujung minggu) 40

Buku pembangunan diri, keluarga dan anak 30

Pakaian ?

Insurans atau tabungan untuk pendidikan anak ?

Jumlah 2,235

(Biasanya, pasangan yang sudah mempunyai anak, senarai belanja lebih daripada 30 perkara).

Menurutnya, bajet peringkat pertama yang disediakan pasangan melebihi jumlah yang dibenarkan iaitu RM2,100. Oleh itu pasangan itu perlu membuat semakan bagi memastikan perbelanjaan sebulan mereka tidak melebihi 70 peratus daripada gaji bersih diterima.

"Jika memiliki hutang tidak baik iaitu hutang kad kredit, skim ansuran mudah dan pinjaman peribadi, berbincang dengan pasangan untuk menyelidik apa yang tidak kena sehingga membuat hutang yang menambah tekanan dalam keluarga.

"Bebanan hutang menghalang pasangan daripada menyediakan keperluan keluarga dengan sempurna termasuk pendidikan untuk anak. Tiada ibu bapa yang tidak ingin memberikan pendidikan terbaik buat anak, tetapi tindakan ibu bapa yang tidak mahu membuat bajet di atas kertas menggagalkan setiap impian itu," katanya.

Friday, October 23, 2009

Ulasan pertengahan tahun

KITA sudah melalui pertengahan tahun pertama 2009 pada bulan Jun lalu. Memang tidak dinafikan, enam bulan pertama ini adalah waktu paling mencabar buat kita semua. Namun, dengan melakukan perancangan yang baik dari permulaan tahun 2009, semuanya berjalan dengan lancar dan sistematik. Justeru, untuk menghabiskan tahun 2009 ini dengan lebih baik, kita seharusnya melakukan ulasan pertengahan tahun.

Seperti syarikat-syarikat gergasi, kecil dan sederhana, kita sebagai individu dan keluarga juga harus melakukan ulasan pertengahan tahun bagi memantapkan lagi pengurusan kewangan diri sendiri mahupun ahli keluarga.

Bagi membantu melakukan proses ulasan baki pertengahan tahun 2009 ini, apa kata anda catatkan setiap perbelanjaan bulanan, bagi membantu melancarkan proses perbelanjaan harian atau bulanan sehingga pada akhir tahun ini.

Perbelanjaan bulanan dicipta agar anda akan merancang setiap perkara yang perlu atau akan dibayar dengan lebih terperinci. Perbelanjaan ini hendaklah selesai 15 hari sebelum bulan baru bermula. Contohnya, bagi perbelanjaan pada bulan Ogos 2009, catatan perlu disiapkan pada 15 Julai 2009. Hanya dengan proses ini sajalah anda akan mengetahui sama ada bulan Ogos 2009 ini akan dipenuhi dengan kekurangan atau defisit wang keluar lebih daripada wang masuk. Dengan cara sebegini juga, anda mempunyai masa untuk mengurangkan perbelanjaan yang membawa ke arah pembaziran.

Matlamat persendirian anda

Bahagikan peratusan yang boleh anda gunakan bagi membantu melakukan proses perbelanjaan baki bulanan dan anda boleh menggunakannya supaya dapat mengenepikan wang yang banyak untuk membayar hutang piutang. (Ini sekadar contoh). Sila ubahsuai mengikut perbelanjaan bulanan isi rumah anda:

10 peratus untuk simpanan

Dalam masa enam bulan yang lalu, berapa banyak wang daripada jumlah pendapatan atau gaji anda dan gaji isteri atau suami yang berjaya diketepikan untuk simpanan? Sudah semestinya anda telah mengenepikan 10 peratus daripada jumlah pendapatan bulanan sebagai simpanan. Memandangkan keadaan ekonomi yang semakin mencabar ini, anda dinasihatkan agar mengikat perut. Dengan cara sebegitu, sudah pasti baki yang tertulis dalam kenyataan akaun bank, tabung haji atau amanah saham telah disimpan.

35 peratus untuk kos melibatkan perumahan

n Sewa rumah atau pinjaman bulanan
n Kos pembaikan rumah
n Cukai
n Utiliti
n Insurans

Dalam masa enam bulan yang akan datang, perhatikan sama ada premium insurans nyawa atau perubatan perlu dibayar ataupun tidak. Katakanlah, anda mempunyai masalah dengan amaun premium yang tinggi, jangan bimbang, telefon sahaja ejen atau tulis kepada syarikat insurans untuk meminta melakukan perubahan ke atas premium. Dengan melakukan perubahan ini, wang premium yang besar boleh dikurangkan dan lebihan wang itu juga boleh digunakan untuk membayar hutang kad kredit yang tinggi.

15 peratus untuk pembayaran hutang

n Pinjaman persendirian
n Kad kredit
n Pinjaman persekolahan

Dalam ketiga-tiga jenis pembayaran hutang di atas, saya nasihatkan agar anda membayar hutang kad kredit memandangkan kadar faedahnya yang tinggi. Lebih cepat anda langsaikan hutang kad kredit, lebih banyak wang yang akan anda agihkan. Contohnya agihan untuk pembayaran pinjaman perumahan atau pinjaman persekolahan.
15 peratus untuk perbelanjaan pengangkutan

n Pinjaman kereta
n Kos kegunaan petrol
n Bayaran tiket bas atau teksi
n Kos pembaikan kereta
n Bayaran tempat meletak kereta
n Bayaran tol

Sekiranya anda benar-benar ingin menjimatkan wang, di sinilah juga anda boleh melakukan beberapa pengorbanan. Pengorbanan seperti menaiki kenderaan awam atau berkongsi kereta apabila pergi ke pejabat. Dengan cara ini, kos pembaikan kereta, kegunaan petrol dan bayaran tol juga boleh dikurangkan.

25 peratus bagi kos pembiayaan yang lain

n Percutian sekeluarga
n Pakaian
n Hiburan sekeluarga
n Makan di luar

Di bahagian inilah, anda melatih diri sendiri agar tidak berbelanja mengikut emosi. Kadang-kadang, kita tidak perlu mengeluarkan wang yang banyak atau membeli hadiah berjenama semata-mata untuk membuktikan kasih sayang kita kepada ahli keluarga ataupun si dia.

Sunday, October 18, 2009

Wanita sebagai pengguna



Tanpa perancangan kewangan dan perbelanjaan yang sistematik, seluruh isi rumah bakal menghadapi tekanan. Baik dari segi masalah bil tertunggak atau kekurangan wang perbelanjaan.

PENGALAMAN menggunakan lima kad kredit sekali gus cukup menyiksakan. Setiap bulan, separuh daripada gaji Roziah Razali, 47, hilang begitu sahaja bagi membayar hutang kad kredit.

"Ketika berkhidmat sebagai kerani di Oriental Bank (kini EON Bank), Kuala Lumpur, saya begitu teruja memiliki kad kredit kerana ia boleh digunakan pada bila-bila masa.

"Saya tidak perlu bimbang jika wang tunai tidak cukup ketika membeli-belah kerana saya mempunyai kad kredit. Namun kegembiraan itu hanya bersifat sementara apabila saya terpaksa membayar semula hutang-hutang tersebut," katanya yang berjaya menyelesaikan kesemua hutang kad kredit dan selepas itu, dia tidak mahu lagi menggunakan kad kredit.

Jelas ibu kepada enam cahaya mata itu, masalah hutang atau wang yang tidak mencukupi tidak akan berlaku jika wanita bijak mengatur perbelanjaan harian mahupun bulanan.

Pengalaman berkhidmat sebagai kerani bank selama 13 tahun dan pernah mengusahakan perniagaan barangan sukan di Pulau Langkawi, Kedah selama dua tahun telah banyak mengajarnya cara menguruskan wang dengan betul.

DIDIK diri untuk membeli barangan keperluan sahaja.

Biarpun hanya bergantung pada gaji suami yang bertugas sebagai ketua operasi teknologi maklumat di salah sebuah syarikat insurans, Roziah bersyukur wang perbelanjaannya sentiasa mencukupi.

Langkahnya mudah sahaja iaitu setiap bulan Roziah yang kreatif dalam seni menggubah bunga akan menyenaraikan segala barangan, bil dan yuran yang perlu dibayar. Ini penting bagi memudahkannya melakukan proses agihan wang selepas menerima wang belanja bulanan daripada suami.

Sama seperti saranan FOMCA dalam kempen 'Wanita sebagai Pengguna Bijak', Roziah yang gemar menyediakan makanan di rumah berbanding makan di luar, mengamalkan perbelanjaan mengikut keperluan.

Biasanya, barang kering yang tahan lama seperti beras, susu, gula atau tepung dibeli secara pukal dan bulanan. Barang basah seperti makanan laut, ayam dan sayur pula dibeli harian atau dua hari sekali.

"Sekiranya perlu ke kedai untuk membeli bahan masakan sampingan, saya memperuntukkan wang belanja sebanyak RM10 sahaja. Cara ini mengajar saya supaya tidak boros berbelanja.

"Bukan itu saja, bajet bulanan juga dapat dikawal kerana saya kerap membeli barangan daripada jenama dan kuantiti yang sama. Jadi, saya dapat menganggarkan perbelanjaan sebelum ke pasar raya," jelas Roziah sambil menunjukkan pelamin anaknya yang dihasilkannya sendiri dengan menggunakan koleksi bunga kos rendah.

PENGGUNAAN kad kredit menyebabkan wanita cenderung berhutang. - Gambar hiasan


SENARAIKAN barangan yang hendak dibeli terlebih dahulu.


ROZIAH lebih gemar masak di rumah berbanding menikmati makanan bersama keluarga di luar.

Tambahnya, tidak perlu segan meminimumkan bajet atau membeli barangan murah. Pada zaman gawat ini, amat penting untuknya berjimat-cermat biarpun pada hari persandingan anak.

"Saya sentiasa berpesan kepada anak-anak supaya mengamalkan sikap sederhana dalam kehidupan. Harus bijak merancang perbelanjaan dan menabung," ujarnya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Sentul, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Siti Soleha Zaffan Tajuludin, 25, berpendapat anak-anak muda hari ini merupakan antara generasi yang obses berbelanja. Sama ada membeli barangan murah atau berjenama, mereka jarang berfikir terlebih dahulu kerana masih belum mengerti nilai wang.

"Ketika remaja, saya tidak terkecuali membeli pelbagai barang tanpa berfikir dan merancang. Tetapi, sejak berumah tangga pada tahun lalu dan bekerja sebagai Pegawai Tadbir dan Penolong Pendaftar di Universiti Malaya, barulah saya tahu susahnya mencari wang.

"Bagi mengelakkan wang dibelanja tanpa sebab, saya dan suami membuat bajet dan membawa senarai barangan ketika berbelanja," katanya ketika ditemui Kosmo! di Carrefour Ekspress, Seksyen 4, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Sempena meraikan sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2009, bukan sahaja aktiviti dan majlis hiburan yang disajikan. Sebaliknya, keraian itu turut menyalurkan wadah yang membentuk dan mendidik golongan wanita ke arah perkara positif dalam isu kepenggunaan.

Mendapati wanita merupakan golongan yang paling aktif membeli-belah, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) telah melancarkan kempen 'Wanita sebagai Pengguna Bijak' yang bertemakan, 'Rancang Perbelanjaan, Buat dan Patuhi Senarai Barangan'.

Ini berikutan golongan wanita memainkan peranan penting dalam ekonomi sebagai pengguna dan bertanggungjawab menentukan pembelian barangan, makanan dan keperluan yang dikehendaki oleh seluruh isi rumah masing-masing.

Menurut Ketua Pegawai Operasi (CEO) Kempen Konsumer Kebangsaan, Siti Rahayu Zakaria, penganjuran kempen tersebut bertujuan menggalakkan wanita menjadi pengguna lestari dan berhemat melalui pengurusan kewangan yang baik dan bijak.

"Kita sedia maklum bahawa wanita adalah kumpulan yang bertindak sebagai perancang isi rumah atau popular dengan jolokan Menteri Kewangan. Saban bulan, perbelanjaan rumah (sekolah anak-anak, barang dapur dan pembayaran bil) bagaikan sudah menjadi urusan rasmi wanita (isteri).

"Tanpa perancangan kewangan dan perbelanjaan yang sistematik, isi rumah bakal menghadapi tekanan. Baik dari segi masalah bil tertunggak atau kekurangan wang perbelanjaan.

"Biarpun sudah banyak kempen berkaitan isu kepenggunaan dan perbelanjaan dijalankan, golongan wanita masih belum mampu menguruskan perbelanjaan dengan baik," jelas Siti Rahayu pada sidang media Kempen Wanita sebagai Pengguna Bijak, yang diusahakan bersama Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Majlis Belia Negara (MBM), Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Petronas.

Kempen ini bertujuan mendidik wanita merancang perbelanjaan dengan menyediakan senarai barangan yang hendak dibeli.

Ini kerana masih ramai wanita mengambil sikap sambil lewa mengenai penyediaan senarai barang yang hendak dibeli. Mungkin mereka berpendapat, ia perkara yang melecehkan.

Tegas Siti Rahayu, senarai barangan sebenarnya mampu mengelakkan pengguna khususnya wanita berbelanja mewah atau cenderung membeli barangan yang tidak sepatutnya.

Ini terutamanya ketika membeli-belah pada musim promosi dan jualan murah.

"Mereka akan membeli-belah sehingga puas. Soal kehabisan wang tunai tidak menjadi halangan kerana proses membeli-belah turut dibantu dengan penggunaan kad kredit.

"Salah sebuah syarikat pengeluar kad kredit tempatan mengesan, sepanjang Jualan Mega 2008 (bermula Julai hingga September), sebanyak 3.86 bilion pemegang kad kredit melakukan RM15.5 juta transaksi ketika membeli-belah," ujar Siti Rahayu yang bimbang sekiranya tabiat membeli tanpa perancangan dan menggunakan kad kredit tidak dibendung. Kesannya, ia akan melahirkan individu yang gemar berhutang.

Tambah Siti Rahayu: "Saya gesa orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh untuk memiliki kad kredit, sebaliknya disiplinkan diri membeli mengikut senarai yang ditetapkan."

Jangan mudah terpengaruh

LAZIMNYA dunia pengiklanan tempatan mahupun antarabangsa sering menggunakan wanita untuk melariskan produk yang ditawarkan. Ini boleh dilihat pada iklan kecantikan wajah dan pelangsingan badan.

Ia berlaku kerana syarikat pengeluar produk menyifatkan penggunaan bentuk fizikal wanita mampu mempengaruhi wanita untuk mencuba dan membeli produk tersebut.

Pengarah Pembangunan Komuniti Untuk Program Wanita, Nanthini Ramalo menyatakan, seharusnya wanita zaman moden perlu berfikiran kritikal dan mengamalkan perbelanjaan berhemah.

USAH terpengaruh dengan promosi jualan murah.

Melalui pemikiran kritikal, iklan yang dipaparkan di media cetak dan elektronik tidak mampu mempengaruhi golongan wanita.

“Bukan sekadar iklan, wanita juga dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan promosi jualan murah. Sekiranya, barangan lama masih baik dan boleh digunakan, maka adalah lebih baik wang anda digunakan untuk keperluan yang lain,” tegas Nanthini Ramalo, yang bimbang melihat tabiat boros golongan muda dan remaja membeli-belah hari ini.

Popular Posts

Recent Posts

-

Unordered List

-

Text Widget

Sponsor




tracker

minyak kelapa dara biovco
BioVCO Groups
>> KLIK DISINI


penyakit resdung, sinus
twitter

Featured Video

Featured Video

Advertisement

Pengikut

Jalan menuju TAQWA

Popular Posts

Video Of Day