Ads

Showing posts with label jimat duit. Show all posts
Showing posts with label jimat duit. Show all posts

Tuesday, October 13, 2009

Fahami nilai sebenar wang untuk belanja berhemah

KETIKA membuat persiapan menyambut sesuatu perayaan, wanita tentunya cukup sibuk dengan segala macam hal termasuk pakaian, makanan, perhiasan rumah, duit raya serta perbelanjaan untuk pulang ke kampung.

Perbelanjaan tentunya meningkat berbanding hari biasa terutama bagi keluarga yang memiliki bilangan ahli keluarga yang ramai.

Bagi pekerja yang mendapat gaji awal, mungkin seronok kerana punya wang lebih untuk menyambut perayaan, tetapi pada bulan berikutnya pula mereka terpaksa menanggung 'keperitan' kerana tempoh lebih lama menantikan pembayaran gaji.

Lantaran itu, tidak mustahil jika ada yang terpaksa meminjam wang atau berbelanja lebih menggunakan kad kredit tanpa memikirkan kesan yang bakal dialami.

Keadaan bertambah genting apabila bil atau pinjaman lain tidak dapat dibayar tepat pada masa, sekali gus menambahkan stres yang sebenarnya boleh dielakkan jika merancang perbelanjaan harian terlebih dulu.

Oleh itu, bagaimana cara untuk menguruskan perbelanjaan rumah tangga selepas wang banyak dilaburkan untuk meraikan satu-satu perayaan?

Perunding Kewangan International Islamic Finance Insurance Planners Sdn Bhd, Puteri Afroze Ahed Kamil, berkata matlamat kewangan seharusnya menggambarkan perkara yang ingin dikecapi dengan wang yang dimiliki dalam jangka masa tertentu.

Penetapan matlamat ini akan membantu seseorang itu memahami nilai sebenar wang dan menggalakkan kita berbelanja dengan lebih bijak.

"Sekiranya tidak pernah membuat bajet, inilah masa yang sesuai untuk berbuat demikian. Pertama, kenal pasti jumlah perbelanjaan bulanan, mengikut kategori perbelanjaan tetap dan perbelanjaan boleh ubah.

"Adakah duit yang ada mencukupi untuk menanggung perbelanjaan ini?

"Sekiranya tidak mempunyai dana kecemasan yang boleh dipinjam untuk jangka pendek, anda harus membuat perubahan gaya hidup untuk tempoh beberapa minggu atau bulan sehingga keadaan kewangan kembali 'normal' atau keadaan kewangan sudah tidak gawat," katanya.

Selain itu, katanya, perbelanjaan tetap seperti pinjaman perumahan, sewa rumah dan pembelian kereta harus dibayar terlebih dulu supaya tidak mempunyai masalah dengan pihak bank atau penyewa.

Bagi mereka yang sudah berkeluarga, berbincang terlebih dulu dengan pasangan dan keluarga supaya mereka tahu mengenai masalah kewangan yang dihadapi.

Ini bertujuan untuk mendapatkan sokongan daripada mereka mengenai perubahan gaya hidup yang seharusnya dilakukan bersama dan mendapat kerjasama supaya matlamat melaksanakan penjimatan itu dapat dicapai.

Di samping itu, antara perbelanjaan yang boleh dikurangkan adalah perbelanjaan boleh ubah seperti bil utiliti, makanan, perjalanan dan hiburan.

"Semua ini dapat dilakukan dengan membuat pilihan gaya hidup, contohnya jika seseorang itu menaiki kereta ke pejabat, mungkin mereka boleh menunggang motosikal (sekiranya ada) atau menaiki kenderaan awam.

"Malah, perbelanjaan makan tengah hari dapat dijimatkan sekiranya membawa bekal dari rumah ataupun elakkan serta kurangkan belanja makan di luar buat seketika.

"Galakkan anak-anak untuk membawa bekalan ke sekolah bagi memastikan mereka mendapat makanan lebih berkhasiat dan ini juga lebih menjimatkan," katanya.

Selain itu, penjimatan penggunaan elektrik dan air dapat dibuat sekiranya ahli rumah berdisiplin serta menggunakannya secara berhemah mengikut keperluan.

Lebih menjimatkan, sebelum ke pasar, buat senarai barang keperluan dapur yang hendak dibeli. Ketika membuat senarai ini, cari pilihan harga barangan yang lebih murah berbanding barang kebiasaan.

"Kemudian, sentiasa tanya pada diri, 'adakah ini keperluan atau keinginan'? Ini kerana, besar kemungkinan kebanyakannya adalah barang yang diinginkan dan pembeliannya masih boleh ditangguh bagi memberi laluan kepada perkara yang lebih penting," katanya.



Tip untuk mengelak daripada berbelanja lebih

1. Adakan bajet untuk setiap perbelanjaan. Senarai mengenai tanggungan yang dibuat setiap bulan itu dapat mengingatkan kita untuk berbelanja secara lebih berhemah.

2. Sediakan dana khas untuk keperluan tertentu seperti untuk menyambut hari raya atau bercuti.

3. Berbelanja untuk barangan perlu saja dan elakkan berbelanja lebih untuk barangan yang diingini.

4. Elak daripada berhutang sama ada dengan kad kredit atau rakan untuk perbelanjaan yang dapat dielakkan atau ditunda. Hadkan penggunaan kad kredit untuk keperluan kecemasan saja.

5. Akhir sekali, berbelanja mengikut kemampuan. Jangan berbelanja sekadar untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain.

Tuesday, October 6, 2009

Merancang kewangan keluarga



IBU kepada empat orang cahaya mata, Fazuliana Wari Dali, 36, tidak pernah gagal daripada tanggungjawab menguruskan perbelanjaan keluarganya.

Meraih pendapatan yang diperoleh daripada perniagaan lukisan, dia tahu cara yang betul menguruskan kewangan.

Menyedari anak-anak semakin membesar dan sesi persekolahan juga bakal bermula tidak lama lagi, Fazuliana lebih selesa menabung untuk kegunaan pada saat diperlukan.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, dia masih membeli tiga pasang seragam dan kasut sekolah untuk tiga orang anaknya yang bersekolah. Sungguhpun isu kegawatan ekonomi sudah mula diuar-uarkan, Fazuliana masih belum merancang mengurangkan perbelanjaan isi rumah dan sekolah anak-anak.

Sebaliknya, dia sentiasa menasihati anak-anak agar sentiasa menjaga perilaku supaya kelengkapan sekolah boleh digunakan sepanjang tahun. Menerusi kaedah ini, dia boleh berjimat tanpa perlu membeli baju sekolah yang baru.

"Amalan berjimat cermat ini perlu diamalkan memandangkan harga barang kini semakin naik. Memang terasa apabila melihat harga barang tidak menentu. Jika sebelum ini peruntukan RM100 dapat memenuhi troli tetapi kini untuk mendapatkan barang yang sama, saya perlu berbelanja sebanyak RM250.

"Situasi ini bukan sahaja berlaku di pasar raya besar malah perang harga juga boleh dilihat di pasar borong. Jika masalah ini berterusan saya akan mengurangkan sedikit perbelanjaan supaya peruntukan perbelanjaan yang diberi suami setiap bulan sentiasa mencukupi," luahnya yang menjalankan perniagaan melalui Internet.

"SETIAP individu wajar mengamalkan sikap suka menabung."

Pengalaman selama 14 tahun bekerja di bank membuatkan Fazuliana memahami cara terbaik untuk menguruskan kewangan peribadi.

Tahun ini penuh dengan berita kurang enak mengenai ekonomi dunia. Malaysia dikatakan tidak terkecuali merasai tempias itu.

Menyedari perkembangan tersebut, kerajaan menyarankan supaya masyarakat mengambil langkah berjimat cermat. Pengguna perlu hanya membeli barangan yang diperlukan bukan kerana didorong hawa nafsu.

"Benar, jika diperhatikan di Internet dan media, kebanyakan berita yang disajikan menyatakan negara kita bakal menempuh situasi ekonomi yang tidak menentu pada tahun ini. Tapi, orang ramai jangan mudah panik dan bimbang kerana semuanya bergantung pada gaya hidup anda sendiri.

"Sekiranya amalan jimat cermat sudah diamalkan sejak dulu lagi dan menabung, maka isu kegawatan ekonomi bukanlah suatu masalah yang besar. Malah, tatkala krisis berlaku pun kita tidak akan terasa keperitan itu," jelas Pengarah Urusan Life Specialist Financial Planners Sdn. Bhd., Laila Johari yang menyatakan setiap individu wajar mengamalkan sikap menabung.

Justeru, Laila menyifatkan tahun ini merupakan tahun yang paling sesuai untuk orang ramai belajar menabung.

Jika sebelum ini sejumlah wang diperuntukkan membeli barangan berjenama, melancong ke luar negara atau menikmati hidangan di restoran adalah lebih wajar kita mengubah tabiat sedemikian.

Orang ramai masih boleh berbelanja, tetapi biarlah berpada-pada. Sebaik-baiknya bertukarlah membeli produk tempatan dan mengunjungi destinasi percutian dalam negara. Daripada membazirkan wang yang banyak untuk makan di luar, lebih baik sekiranya wang itu digunakan membeli bahan mentah dan makan di rumah. Dengan cara ini, sambil berjimat kita dapat meningkatkan keharmonian keluarga.

Selain menghakis sikap boros, obses menggunakan kad kredit juga harus dikawal.

"PENGGUNA perlu membeli hanya barangan yang diperlukan bukan kerana didorong hawa nafsu. - Gambar hiasan"

Elakkan memiliki kad kredit lebih daripada satu kerana penggunaan kad kredit bakal membuatkan si pengguna terpaksa membayar hutang yang tinggi.

"Saya juga tidak bersetuju sikap pengguna yang gemar membayar hutang kad kredit sebanyak lima peratus pada setiap bulan. Hutang yang selebihnya tertunggak dan beralih pada bulan seterusnya. Semakin banyak hutang kad kredit, semakin tinggilah kadar faedahnya.

"Bagi golongan ibu bapa yang memakai kad kredit, disarankan supaya mereka menggunakan kad itu untuk hal-hal kecemasan atau kesihatan yang melibatkan ahli keluarga saja. Elakkan membeli barang menggunakan kad kredit kerana kesannya amat buruk," ujarnya kepada Kosmo!.

Laila mengakui sistem pengurusan kewangan keluarga terletak pada kebijaksanaan isteri dalam merancang perbelanjaan setiap bulan.

Saturday, October 3, 2009

Bijak urus hutang



UNTUK mencapai matlamat kewangan, kita sememangnya memerlukan wang. Namun, sekiranya kita mendapatkannya dengan cara senang iaitu melalui jalan mudah, selalunya pelbagai masalah akan timbul.

Hakikatnya, ia akan membawa padah apabila memiliki hutang yang banyak. Mana tidaknya, wang yang senang didapati itu diambil daripada transaksi kad kredit, pinjaman peribadi, pinjaman overderaf dari institusi kewangan dan bank atau pinjaman menerusi khidmat ah long.

Bukan itu sahaja, sudahlah hutang meningkat, diri sendiri juga perlu membayar pinjaman perumahan dan kereta, termasuk membayar kos kehidupan seharian.

Persoalan, adakah anda mengalami masalah di atas? Sekiranya ada, anda dinasihat mengambil langkah-langkah yang positif bagi menangani proses membayar hutang yang banyak itu.

Walau bagaimana besar amaun yang kita berhutang, janganlah pula kita mengambil jalan penyelesaian yang salah atau secara bersendirian. Sekiranya anda seorang penuntut yang masih belajar atau belum berkahwin, kongsi bersama ayah dan ibu atau adik beradik. Sekiranya sudah berumahtangga, ceritakan masalah itu kepada pasangan hidup anda.

Penting bagi kita melakukan sesuatu dan jadikan amalan. Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit! Pepatah ini bukan sahaja digunakan untuk wang, tetapi untuk menambah ilmu di dada.

Rawatan secara semulajadi berasaskan 100% tumbuhan
Inilah rancangan yang harus diselenggarakan mulai sekarang.

Tulis dan tampal di dinding

Tulis jumlah keseluruhan hutang yang perlu dibayar dan tampal di mana sahaja tempat yang selalu anda gunakan. Contohnya, di cermin almari solek atau papan tanda di rumah atau pejabat. Yang pasti, ketepikan semua perkara selagi hutang yang tertulis itu tidak dilangsaikan. Lupakan impian untuk membeli baju, beg tangan, motor besar, kereta dan lain-lain. Tumpuan kita hanyalah satu iaitu mengurangkan bebanan hutang yang tertulis itu. Apabila kita melihat sekeping kertas yang tertulis amaun hutang kita setiap hari, diri kita sendiri akan memberikan sepenuh perhatian bagi menyelesaikan hutang tersebut.

Bajet

Inilah satu daripada rahsia agar proses melaksanakan perancangan kewangan dapat dijalankan dengan baik. Tanpa bajet, kita tidak akan sedar di manakah kelemahan dan kelebihan yang ada pada diri sendiri. Menulis bajet bukan satu hukuman.

Apabila kita menulis bajet, kita hendaklah menulisnya dengan tulus ikhlas kerana kita hendak tahu berapa banyak wang yang digunakan setiap bulan.

Dengan wang gaji kita dan isteri atau suami kita, setelah ditolak perbelanjaan itu, berapa banyakkah yang boleh kita simpan. Sehingga hutang dilangsaikan, kita hendaklah mengikut bajet yang telah ditetapkan ini.

Melalui proses ini juga, kita perlu berterus terang dengan suami atau isteri jika kita mempunyai masalah untuk menyimpan. Antara suami atau isteri, yang manakah lebih cermat. Pilih seseorang yang cermat untuk menyimpan wang simpanan keluarga.

Potong semua yang tidak penting

Apabila diri sendiri mempunyai masalah hutang yang disebabkan oleh pembelian menggunakan kad kredit yang berlebihan, kita seharusnya memberikan kad kredit kepada seseorang yang boleh dipercayai sama ada suami atau isteri. Seterusnya, semua transaksi yang ditulis di dalam bajet hendaklah menggunakan wang tunai.

*Wang tunai diketepikan untuk membayar bil-bil dan membeli keperluan yang penting sahaja. Perkara yang tidak penting dipotong atau ditunda buat sementara.

*Inilah masa untuk mengikat perut. Makan di rumah atau bawa bekal ke pejabat.

*Potong semua keahlian kelab sukan dan bersenam di padang permainan berdekatan.

*Sekiranya menggunakan dua buah kereta ke pejabat, simpanlah sebuah di rumah dan ini boleh mengurangkan perbelanjaan petrol.

*Apabila wang yang dibajet ini kehabisan, jangan keluarkan wang simpanan. Sabar sehingga anda mendapat gaji bulan hadapan.

Hutang boleh diselesaikan

Setelah semua perkara di atas berjaya dilakukan dan masih ada lagi hutang yang belum diselesaikan, eloklah kita menulis baki amaun hutang secara terperinci. Apa yang dimaksudkan itu adalah sekiranya kita mempunyai tiga atau lebih kad kredit, tuliskan amaun yang perlu dibayar. Dari sini, kita bayar amaun yang paling kecil dan kemudian tamatkan kad kredit tersebut. Lakukan proses itu sehingga kita hanya memiliki satu atau dua kad kredit sahaja.

Setelah selesai hutang kad kredit, kita perlu menulis semula hutang-hutang yang lain seperti hutang peribadi, hutang ah long dan lain-lain. Perhatikan hutang mana mempunyai kadar faedah yang tinggi. Selesaikan yang itu dahulu. Sekiranya kita terpaksa mengeluarkan wang simpanan, gunakanlah wang itu untuk mengurangkan bebanan hutang kita. Akan tetapi, hendaklah kita berwaspada agar akaun simpanan tidak kosong. Ini kerana kita perlukan wang di saat kecemasan.

Bagi anda yang tidak mempunyai wang simpanan, jangan pula mengambil pinjaman yang lain. Apa yang boleh dilakukan adalah melakukan kerja tambahan atau berniaga di sebelah petang atau malam untuk menambah pendapatan.

Akibat Kurangnya Ilmu Pengurusan Kewangan Peribadi

Bos besar kini penghantar piza

DUA tahun lalu, Ken Karpman dan keluarganya menjalani kehidupan mewah. Mereka mempunyai keahlian kelab golf, sering bercuti ke destinasi hebat dan tinggal di rumah seluas 4,000 kaki persegi.

Pendapatan Karpman mencecah AS$750,000 setahun, iaitu jauh meninggalkan kadar purata pendapatan tahunan rakyat Amerika Syarikat.

Namun kini, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Hedge Fund ini boleh ditemui menghantar piza di Florida dengan upah AS$7.29 sejam. Semuanya kerana tidak mempunyai simpanan cukup untuk menghadapi krisis ekonomi dunia.

“Kami tidak ambil tahu tentang harga barangan di kedai. Kami sekadar mencampakkan ia ke dalam troli dan terus membayarnya. Hidup begitu menyeronokkan. Mengapa ia harus berakhir?” kata Karpman dalam satu wawancara khas di televisyen.

Pemilik sarjana ini seorang pedagang jualan ekuiti. Dia terlalu percaya pada urus niaga dengan syarikat besar, tanpa menduga impak kemelesetan ekonomi global.

Karpman dan isterinya, Stephanie, memberitahu bahawa rumah mereka di Tampa, Florida sudah tergadai sementara hutang kad kredit sudah terkumpul sebanyak AS$100,000. Anak-anak mereka masih meneruskan pembelajaran di sebuah institusi persendirian namun dikatakan ada pihak lain yang menanggung kosnya.

“Memang ini menyedihkan. Namun, saya harap kisah kami dijadikan iktibar. Kami merupakan antara ratusan ribu warga Amerika yang kehilangan kerja atau sedang bersusah-payah membayar semula pinjaman,” kata Karpman.

Sumber ini diambil dari akhbar Kosmo hari ini. Kisah ini boleh dijadikan iktibar kepada kita betapa pentingnya ilmu pengurusan kewangan peribadi.

Tidak kisahlah berapa banyak wang yang anda dapat, tetapi jika anda tidak menutup kebocoran (aliran wang keluar) dan tidak menyimpan maka tidak ada gunanya anda mendapat wang yang banyak tadi.

Menyimpan atau simpanan merupakan benteng pertahanan yang paling asas dalam pengurusan kewangan peribadi. Ia merupakan perkara yang paling penting kerana ia dapat menyelamatkan kita apabila berlaku sebarang kecemasan seperti anak sakit, kemalangan, kereta rosak dan bermacam-macam lagi.

Jadi, amalkanlah sikap menyimpan. Bukan untuk siapa, untuk diri anda dan keluarga juga!

Tuesday, September 29, 2009

Jana semula duit

Tip elak 'sesak' lepas Aidilfitri

GARA-GARA mahu serba-serbi baru pada hari raya biarpun kemampuan terbatas, akal yang 'kreatif' puas memikir pelbagai kaedah yang kononnya bijak. Tidak hairanlah, ada lelaki sanggup membuat pinjaman peribadi, berbelanja menggunakan kad kredit dan melangsaikan wang simpanan. Semua tindakan ekstrem itu sanggup dilakukan semata-mata mahu tampil hebat pada Aidilfitri.

Seperti perumpamaan ‘biar papa asal bergaya’, individu yang tidak berfikir jauh sanggup melakukan apa saja asalkan diri puas disarung pakaian cantik-cantik, menjamah juadah enak serta membeli kelengkapan rumah termasuk kereta baru untuk melaram pada pagi Syawal.

Sekarang, selepas seminggu Aidilfitri berlalu, kegembiraan yang dirasai sebelum hari raya bertukar gundah. Mengapa tidak, individu yang boros berbelanja mula pening memikirkan soal kewangan. Kembali bertugas, macam-macam panggilan telefon diterima dari bank mahupun kenalan yang menuntut semula hutang. Pening dibuatnya!

“Inilah masalahnya apabila kita hanya memikirkan keseronokan membeli barang baru dan menukar segala yang dihajati. Sedangkan mereka tidak memikirkan kesannya pada kemudian hari termasuk beban kewangan yang terpaksa ditanggung.

“Tidak salah berbelanja andai mampu. Namun, dalam hal ini, ramai yang tidak berfikir panjang hingga sanggup mengambil jalan pintas termasuk berhutang,” kata Perunding Kredit di Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Mohd Nasir Mustafa.

Mohd Nasir mengulas senario orang ramai yang sanggup berhutang sebagai jalan mudah memastikan Aidilfitri disambut meriah. Ada yang sanggup mengambil tindakan ini, biarpun pada realitinya, ia membebankan.

Mohd Nasir berkata, amat penting untuk setiap individu merangka bajet kewangan sepanjang tahun dengan memperincikan setiap butiran aliran wang yang dibelanjakan mengikut keperluan serta kepentingan.

Melalui pengurusan kewangan yang bijak, beliau berkata, bebanan kewangan dapat diatasi. Ini sekali gus mengelak seseorang mengambil pinjaman peribadi atau menggunakan kad kredit.

“Masih ramai alpa hingga tidak mengambil kira soal kepentingan berjimat dan menguruskan kewangan. Sebenarnya, setahun sekali menyambut hari raya, kita sepatutnya mempunyai simpanan khusus atau tabungan. Melalui tabungan inilah kita boleh membeli pakaian dan persiapan lain,” katanya.

Ditanya apakah alternatif menjana kembali kewangan selepas musim perayaan, Mohd Nasir berkata, tiada jalan pintas untuk seseorang mengukuhkan kedudukan kewangan andai tidak mempunyai asas tabungan kukuh.

Beliau berkata, memandangkan isu kewangan sering dialami selepas musim perayaan, ia sepatutnya dijadikan iktibar bagi memulakan usaha menabung dengan memperuntukkan sebahagian daripada pendapatan bulanan.

“Tidak dapat banyak, sedikit pun tidak mengapa untuk memulakan tabungan. Sekurang-kurangnya ia boleh dijadikan amalan. Bayangkan, dalam tempoh setahun akan datang jumlah tabungan secara konsisten mencukupi untuk menampung perbelanjaan raya,” katanya.

Mohd Nasir menyarankan mereka yang kesempitan selepas hari raya tidak mudah terpengaruh memohon pinjaman atau menggunakan kad kredit sewenang-wenangnya. Ini kerana tindakan itu hanya menambah beban kewangan selain terjebak dengan krisis kewangan.

“Penting untuk kita selidik kesan dan akibat daripada tindakan kita. Seperti kad kredit, adalah wajib bagi kita untuk segera melangsaikannya dalam jumlah yang sama selepas menggunakannya. Ini bagi mengelak bebanan kredit berpanjangan,” nasihat beliau.

Bagi menangani belenggu kewangan, Mohd Nasir berkongsi tip membayar pinjaman dan hutang secara berjadual. Beringat sebelum terlewat!

Tip pembayaran hutang...

Kad kredit
# Amalkan pembayaran penuh
# Bayar bil sebelum tarikh matang untuk mengelakkan caj lambat bayar
# Hadkan pembelian barangan menggunakan kad kredit.

Rumah
# Amalkan pembayaran penuh sebelum tarikh matang
# Bayar lebih daripada ansuran bulanan biasa
# Faham caj yang dikenakan seperti caj bulanan dan lambat bayar.

Kereta
# Faham Akta Sewa Beli
# Amalkan bayaran penuh sebelum tarikh matang
# Elak pinjaman terlalu lama
# Bayar pendahuluan lebih tinggi dan pinjaman rendah
# Faham caj lain yang dikenakan seperti caj bulanan dan caj lambat bayar.

Mengapa bajet penting?
# Membantu mengawal perbelanjaan
# Mencegah berbelanja mengikut nafsu
# Menentukan kemampuan dari segi kedudukan kewangan
# Menjejaki perbelanjaan anda
# Membantu anda untuk menyimpan wang.

Apa kata mereka?

Rafidi Zainol, 31, penolong pengarah

“MASALAH kehabisan wang simpanan tidak akan timbul andai kita sudah membuat persiapan lebih awal dengan menabung serta berjimat cermat. Senario ini lazimnya berlaku jika kita tidak bijak menguruskan wang simpanan hingga akhirnya mendatangkan masalah terutama selepas musim perayaan.”

Hafizul Hisham, 21, kakitangan swasta

“BAGI yang kurang berkemampuan, usahlah beriya-iya menukar segala kelengkapan dan sibuk membeli-belah. Sebaiknya, raikan Aidilfitri secara sederhana dan gandingkan barang lama dengan kelengkapan baru yang dibeli ketika jualan murah. Bukankah jimat begitu?.”

Ahmad Furqan Zulkifli, 23, jururawat lelaki

“PERANCANGAN awal itu penting untuk menganggar bajet musim perayaan. Memandangkan ekonomi tidak menentu, sebaiknya kita berbelanja secara berhemah. Apa yang lebih penting, ketepikan sedikit wang untuk kes kecemasan.”

Sumber : Berita Harian Online

Popular Posts

Recent Posts

-

Unordered List

-

Text Widget

Sponsor




tracker

minyak kelapa dara biovco
BioVCO Groups
>> KLIK DISINI


penyakit resdung, sinus
twitter

Featured Video

Featured Video

Advertisement

Pengikut

Jalan menuju TAQWA

Popular Posts

Video Of Day